
Waktu kecil-kecil dahulu saya tidak pernah menyangka bahawa Terusan Suez akan menjadi sebuah tempat yang sangat rapat dengan hidup saya. Kini Terusan Suez dikira sebagai kawasan tempat saya bermain pula. Sebuah terusan yang terpenting dalam dunia. Yang memisahkan antara dua benua. Afrika dan Asia, tempat asal saya.
“Kakak tinggal di sini ke?”
Saya bertanya kepada seorang wanita bermuka Asia tatkala beliau berhenti berbicara dengan tuan kedai yang menjual pakaian-pakaian sukan. Bahasa Arab Ammi wanita itu amat fasih. Hal yang sangat-sangat menarik minat saya kerana wajahnya yang sangat-sangat Melayu. Namun soalan saya itu dijawab dengan jawapan yang amat menghampakan.
“I don't understand.”
“So, where are you from?”
“I'm from Philippines. You are from Malaysia, right? Because I know that many Malaysians are studying here at Cairo and they are studying Al-Quran. Are you one of them?”
Saya menganggukkan kepala dan dalam masa yang sama mengatakan yang saya menetap di New Damietta City dan bukan di Cairo seperti yang disangkakan.
Wanita itu langsung menceritakan akan statusnya yang telah berumahtangga dengan seorang warganegara Mesir. Bersamanya ada dua orang anak. Salah seorangnya lelaki yang berusia dalam lingkungan lima belas tahun dan seorang lagi perempuan yang lebih muda sedikit. Walaupun berdarah kacukan, wajah kedua-dua anaknya tak ubah seperti orang Melayu yang tulen. Bahasa Arab anak lelakinya pula langsung tidak ada bau-bau pelat dan penuh keMesiran.
Sangkaan saya bahawa mereka adalah Melayu seperti saya meleset.
Mereka telah lama menetap di sini dan boleh jadi wanita itu telah mempunyai kerakyatan Mesir. Memilih untuk membeli-belah di bandar Terusan Suez yang dinamakan sebagai
Port Said ini jelas menunjukkan yang beliau mengetahui selok-belok negara Mesir dengan baik sekali.
Ini kerana Terusan Suez menerima kemasukan kapal-kapal laut dari seluruh dunia. Dari benua Eropah hinggalah benua Amerika dan Australia. Walaupun Port Said bukanlah sebuah kawasan bebas cukai lagi, ia tetap menjadi kawasan beli-belah tumpuan rakyat tempatan kerana barang-barangan dari luar negara mudah untuk ditemukan di sini dengan harga yang sangat berpatutan.
Port Said. Gambar ihsan Chris&Steve.Mujurlah
Statue Of Liberty yang berdiri tegak di Amerika itu telah dibatalkan pembinaannya di Port Said ini, kalau tidak pastilah lain ceritanya suasana Terusan Suez dinihari.
Berulang-alik dengan feri dari Port Said dan
Port Fuad seolah-olah telah menjadi suatu kemestian setiap kali saya berkunjung ke Terusan Suez. Menghirup udara segar sambil merentasi Terusan Suez dan memerhatikan kapal-kapal laut gergasi yang berlabuh membuatkan saya melupakan segala masalah-masalah yang memenuhi dada.
Jika di musim sejuk pula seringkali feri yang kami naiki itu diiringi oleh burung-burung laut yang terbang rendah di atas kepala. Indah sekali.
“Kenapa pakcik menggunakan tasbih?”
Saya sekadar memulakan bicara. Di atas feri itu, seorang warga Mesir yang berpangkat pakcik duduk di depan saya sambil mulutnya terkumat-kamit berzikir. Mungkin menghabiskan zikir selepas Asarnya. Wajahnya ceria dan amat berseri. Jambangnya sedikit tebal dan janggutnya pendek sekadar ukuran dua jari.
“Oh, pakcik bukan apa! Kalau pakcik tak pakai tasbih nanti pakcik lupa. Sebab zikir pakcik ada kiraan-kiraannya.”
Jawapannya amat menenangkan kalbu apatah lagi ia dilampiri dengan sebuah senyuman yang penuh kemanisan.“
Hmm, jadi pakcik adalah ikut mana-mana tarikat? Syazuli ke? Naqshahbandi ke?”
Saya terus menyoal.
“La'. La'. La'. Pakcik tak ikut mana-mana tarikat. Apa ni? Tarikat Muhammadiah? Ahmadiyyah? Kita semua Muslim kan? Itu yang terbaik. Tak ada perbezaan.”
Senyuman kembali terukir di bibirnya. Saya pula naik hairan kerana amatlah berkonfrontasi kefahamannya terhadap tarikat dengan butir-butir tasbih yang dipakainya. Feri yang kami naiki itu telah sampai ke destinasinya dan pakcik itu pun bersalaman meminta diri untuk beredar meneruskan perjalanannya dan meninggalkan saya terpinga-pinga.
“Eh, itu bendera Malaysia kan? Itu. Yang berkibar di atas kapal itu.”
Kata seorang kawan.
Saya melemparkan pandangan ke arah sebuah kapal yang mahu meninggalkan Terusan Suez menghala ke Eropah. Benar itu kapal dari Malaysia. Feri yang kami naiki itu tergendala beberapa minit perjalanannya demi memberi laluan kepada kapal laut dari Malaysia itu melintas. Dari situ, kami dapat melihat beberapa orang kelasi kapal yang memandang ke arah laut. Sah orang Malaysia. Terbit perasaan bangga di hati kami. Patutlah feri-feri yang mahu ke Port Fuad ini tidak bertolak sejak dari tadi lagi.
Walaupun bandar Port Fuad yang berada di belah lain Terusan Suez tidak seluas bandar Port Said, bandar ini seringkali jadi pengubat hati buat warga Malaysia. Ada yang gembira kerana kononnya telah pulang semula ke Asia, benua tempat tumpah darah.
“Kamu sekarang berada di Asia. Port Said itu di benua Afrika. Terusan Suez inilah yang memisahkan kedua-duanya.”
Seorang warga Mesir menerangkan kepada kawan saya ketika kami berhenti solat di masjid yang menjadi mercu tanda pelabuhan Port Fuad. Beberapa bangunan lama milik penjajah British dahulu masih lagi tersergam utuh dan indah di belakang masjid berkenaan. Kini ia hanya jadi bahan pameran dan tidak lagi didiami mereka.
Port Fuad. Gambar ihsan Chris&Steve.Kadang-kadang saya terfikir bagaimanakah penatnya manusia-manusia yang bekerja untuk membina Terusan Suez ini. Pastilah amat meletihkan dan mestilah jangka masa yang panjang diperlukan untuk mengali laluan demikian. Namun kerana idea asalnya yang dicetuskan oleh penjajah maka tidak hairanlah ia dapat dilaksanakan dengan mudah kerana tenaga yang membinanya adalah tenaga yang dikerah.
Secara zahirnya, pembinaannya adalah idea yang bernas kerana ia mampu menyingkatkan perjalanan dari Eropah ke Asia. Tapi dek kerana singkatnya perjalanan, jalan jauh ke Asia melalui benua Afrika yang dahulunya digunakan terus diabaikan justeru mengakibatkan benua Afrika menjadi benua yang
muflis dan diselubungi kemiskinan kerana tidak ada lagi kapal-kapal dagang yang singgah di pelabuhan-pelabuhan benua tersebut.
US Marine Di Terusan Suez. Gambar ihsan Offical US Navy Gallery.Kalaulah saya sampai ke Mesir lebih awal yakni pada tahun 2003 pastilah saya akan berteriakan menyaksikan kapal-kapal laut tentera Amerika melalui terusan ini menuju ke Iraq untuk menjatuhkan kerajaan Saddam Hussein. Sayang sekali kerana negara tempat saya menumpang ini tidak mampu untuk menghalang hal ini kerana keterikatannya pada
Perjanjian Konstatinopel yang mengisytiharkan bahawa Terusan Suez ini adalah laluan antarabangsa dan bisa dilalui sesiapa sahaja. Sekarang ia telah menjadi sejarah dan sejarah tak pernah mampu untuk diubah.
Sebuah Kapal Armada Melintasi Terusan Suez Di Jambatan Salam. Sebuah Lagi Mercu Tanda Terusan Suez, Gambar ihsan kirknharris.Di Tarahul Bahr, sebuah kawasan pesisiran pantai Port Said yang menghala ke Laut Mediterranean, saya bertemu seorang lelaki Arab dari Emiriah Arab Bersatu yang menjadikan Port Said sebagai tempat percutiannya. Fasih sekali beliau berbahasa Melayu.
“Saya bekerja dalam Tentera Laut di Lumut, Perak. Saya sudah pergi ke Pahang, Kuching Sarawak, Sabah, semua saya sudah pergi,”
Beliau menggunakan bahasa ibunda kita.
“Adakah Tuan sukakan durian?”
Saya bertanya kepadanya.
“Bo-ya-hoooo. Suka. Sangat suka. Banyak sedap! Belacan pun saya makan. Saya sudah mix sama itu orang-orang Melayu selama lima tahun.”
Jawabnya sambil mendukung anak lelakinya yang masih kecil.
Di Port Said untuk bertemu dengan pelancong asing dari negara-negara lain bukanlah merupakan suatu perkara yang menghairankan. Ada yang datang ke sini untuk melihat kesan sejarah, bercuti membeli belah, dan berhenti transit seketika sebelum menyambung pelayaran mereka semula. Kebanyakan mereka bertumpu di Syari3 Goumhuria kerana ia merupakan uptown utama Port Said. Banyak butik pakaian berjenama tersusun di sepanjang jalan. Hotel Sonesta tersergam indah di sini di samping hotel-hotel bertaraf elit lainnya seperti Helnan dan Panorama.
Makanan laut juga amat mudah untuk didapati di sini dan sotong goreng cara orang Mesir adalah yang paling saya sukai. Rangup dengan adunan tepung rahsianya yang sering saya nikmati setiap kali berkunjung ke sini.
“Boleh saya tahu bacaan Al-Quran ini diperdengarkan oleh siapa?”
Rasa enkuiri yang meluap-luap membuatkan saya bertanya kepada tuan punya restoran itu.
“Ini bacaan Syeikh Abdul Mun3im. Imam Masjid Riyadhus Solihiin yang terletak di Kisra. Ini kaset bacaannya. Kalau kau mahukan yang penuh, kau boleh muatturun di web ini.”
Jawab tuan kedai buku yang bersebelahan restoran itu.
Sungguh tidak saya sangka bahawa bacaan itu adalah bacaan seorang Imam masjid yang terletak di Kisra, sebuah kawasan di pintu masuk barat Port Said, tempat saya bertolak ke New Damietta City kerana di situlah terletaknya mahattah Dumyat. Namun sayang sekali kerana saya masih belum sempat bertemu dengan qari ini kerana setiap kali saya ke masjid itu, beliau selalu saja outstation ke Cairo disebabkan oleh kesibukannya sebagai seorang imam.
Dan dari Kisra inilah saya akan menaiki tremco menuju ke NDC, meninggalkan Port Said dengan menyusuri lebuhraya pesisiran Laut Mediterranean yang dihiasi pemandangan kapal-kapal laut yang kelihatan semakin mengecil beratur menuju ke arah matahari yang sedang terbenam dengan warna merah jingga yang terbias ke laut. Cantik sekali.
Terusan Suez dan Port Said saya tinggalkan buat sementara dan saya akan kembali ke sini apabila terasa kekusutan kerana di sinilah saya jadi lupa segalanya setelah tenggelam dalam keindahannya.
sumber