![]() |
| ANGGOTA polis mengarahkan orang ramai supaya tidak meninggalkan rumah selepas penyokong Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) merusuh dan membakar bas berikutan pembunuhan anggota parti itu di Karachi, semalam. - REUTERS |
KARACHI 3 Ogos - Lelaki bersenjata menembak mati sekurang-kurangnya 45 orang di bandar ini selepas pembunuhan seorang penggubal undang-undang, lapor pegawai hari ini.
Berpuluh-puluh kenderaan dan kedai dibakar ketika pasukan keselamatan berusaha mengawal keadaan di Karachi.
Kekacauan terbaru itu berlaku selepas seorang penggubal undang-undang wilayah, Raza Haider ditembak mati bersama-sama pengawalnya di sebuah masjid di kawasan Nazimabad semasa ingin bersolat semalam.
Haider merupakan anggota Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM), sebuah parti politik yang mentadbir Karachi dan mewakili sebahagian besar keturunan pendatang dari India yang menetap di Pakistan selepas negara ini dibentuk pada 1974.
Pegawai di beberapa hospital meletakkan jumlah kematian hari ini kepada 45 orang, sementara kira-kira 93 yang lain turut cedera terkena tembakan.
Turut dibakar adalah sebuah pasar yang menjual perabot.
Jurucakap wilayah Sindh, Jamil Soomro berkata, sekurang-kurangnya 10 suspek ditahan, manakala polis dan anggota separa tentera dari Army Rangers ditempatkan di seluruh bandar bagi mengawal keadaan.
Bagaimanapun, bunyi tembakan masih didengar pagi ini di samping kebakaran yang terus berlaku di beberapa tempat.
Kerajaan hari ini turut mengarahkan sekolah-sekolah dan kolej di Karachi serta pusat bandar lain di wilayah tersebut supaya ditutup.
Bandar di selatan Pakistan yang dihuni lebih 16 juta penduduk ini mempunyai sejarah keganasan politik, etnik dan agama selain sudah lama menjadi kawasan persembunyian militan al-Qaeda serta Taliban. - AP

0 comments:
Post a Comment