SRINAGAR 8 Ogos - Pasukan penyelamat mengharungi lumpur dan menggali di celah-celah runtuhan rumah hari ini untuk mencari 500 orang yang masih hilang selepas banjir kilat mengakibatkan berlaku tanah runtuh di kawasan pergunungan terpencil di Kashmir India.
Angka kematian akibat bencana itu kini meningkat kepada 132 orang manakala kira-kira 500 lagi cedera.
Beribu-ribu anggota tentera, polis dan pasukan separa tentera membersihkan jalan menuju ke kampung-kampung terpencil di kawasan Ladakh yang terputus hubungan sejak ribut kencang kelmarin, kata ketua polis negeri Kashmir, Kuldeep Khoda.
Mangsa yang cedera dirawat di sebuah hospital tentera dan beberapa klinik sementara di sekitar Leh, pekan yang paling teruk terjejas.
Kata pegawai, mangsa yang hilang termasuk 28 askar tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan di kalangan warga asing.
Kira-kira 2,000 pelancong asing berada di Ladakh, destinasi popular bagi peminat sukan lasak, apabila ribut melanda kawasan itu kelmarin, menyebabkan rumah-rumah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dan tiang elektrik dan telefon tumbang.
Pihak berkuasa mengatur penerbangan khas untuk membawa pelancong ke New Delhi dari Leh hari ini.
Penyelamat belum dapat masuk ke Choglamsar, sebuah kampung yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk di pinggir Leh, disebabkan banjir lumpur yang menyekat jalan.
Seorang aktivis masyarakat, Mohammed Deen Khan yang cuba masuk ke kampung itu semalam berkata, sesetengah tempat, lumpur sedalam 4.5 meter dan pihak berkuasa menghadapi masalah kekurangan jentolak dan jentera berat untuk membersihkan lumpur.
Bulan Ogos ialah kemuncak musim pelancongan di Ladakh, 450 kilometer ke timur Srinagar. Kawasan itu ialah gurun altitud tinggi dengan permukaan tandus seperti bulan dan selalunya jarang-jarang ada hujan. - AP
0 comments:
Post a Comment