Thursday, August 26, 2010

Beri Peluang Wanita Kerja Separuh Masa


Najib Tun Razak melancarkan Hari Wanita Kebangsaan 2010 sambil diperhatikan oleh Rosmah Mansor dan Shahrizat Abdul Jalil di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, semalam. - utusan/MOHD. IZWAN ZAINAL


KUALA LUMPUR 25 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta majikan di negara ini memberi peluang lebih luas kepada wanita untuk bekerja separuh masa supaya mereka boleh mencari nafkah dan pada masa yang sama, menunaikan tanggungjawab sebagai ibu.

Perdana Menteri berkata, terdapat pelbagai pilihan bagi majikan untuk menggalakkan kaum wanita menyumbang pengetahuan dan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang menerusi waktu bekerja yang longgar termasuk bekerja dari rumah atau pada waktu anjal.

"Contohnya seperti bekerja beberapa jam sehari. Pada waktu puncak iaitu masa makan tengah hari pekerja tetap boleh berehat dan tempat mereka diganti oleh pekerja wanita yang disebutkan tadi," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Wanita Kebangsaan 2010 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang bertemakan 1Azam - Wanita 1Malaysia itu ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tambah Najib, langkah menggalakkan waktu kerja longgar itu akan menggalakkan wanita mencari pekerjaan dan pada masa sama menunaikan tanggungjawab sebagai ibu.

Keadaan itu jelasnya, sama juga dengan penyediaan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja bagi mendorong tenaga kerja mahir wanita untuk terus bekerja tanpa risau kebajikan anak kecil mereka.

"Kerajaan amat menggalakkan pihak swasta dan awam menubuhkan pusat-pusat asuhan di premis kerja masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober ini yang bakal memberi jaminan faedah kepada kumpulan yang terlibat.

Jelas beliau, peraturan itu bagi memastikan hak dan perlindungan pekerja separuh masa dari segi terma perburuhan lebih jelas dan menyeluruh.

Najib berkata, langkah memperkenalkan peraturan baru itu dijangka memberi manfaat kepada 6.5 juta orang yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal, pesara, orang kurang upaya dan pelajar institusi pengajian tinggi yang ingin bekerja separuh masa.

"Saya yakin usaha memperkenalkan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan wanita di negara ini lantas meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara," katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengadakan sidang video mengenai perkembangan wanita di Sarawak, Johor dan Terengganu bersama ketua menteri dan menteri besar negeri-negeri berkenaan.

sumber

0 comments: