BEIRUT 10 Ogos - Pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah lewat malam tadi mengemukakan rakaman tinjauan udara yang didakwa membabitkan Israel dalam kejadian pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri pada 2005.
Sheikh Hassan yang menyembunyikan diri sejak kumpulan Syiah pimpinannya terlibat dengan pertempuran dengan Israel dalam perang selama sebulan pada 2006 mengakui, rakaman tersebut bukanlah satu bukti mutlak.
"Ini adalah bukti dan petunjuk yang membuka horizon baru untuk penyiasatan," katanya kepada pemberita melalui rangkaian satelit pada satu sidang media, di sini lewat malam tadi.
Sheikh Hassan membuat kenyataan itu ketika tekanan semakin memuncak terhadap kumpulan pejuang tersebut yang dikaitkan dengan siasatan pembunuhan Hariri oleh sebuah tribunal Belanda, yang dijangka mengeluarkan keputusan tahun ini.
Sekiranya Hizbullah didakwa, terdapat kebimbangan ia mungkin akan mencetuskan rusuhan antara penyokong Sunah Hariri serta pengikut Syiah Hizbullah.
Sheikh Hassan berkata, pita rakaman yang ditunjukkan itu dipintas kumpulan pejuangnya antara 1990-an dan 2005, menunjukkan tinjauan udara Israel di kawasan yang sering dikunjungi Hariri termasuk lokasi kematiannya.
Katanya, rakaman itu membuktikan Israel mengawasi pergerakan Perdana Menteri itu dengan niat melakukan pembunuhan.
Ketika ditanya mengapa beliau menunjukkan bukti itu pada satu sidang media dan bukan kepada tribunal, Sheikh Hassan berkata, beliau tidak bekerjasama dengan pihak yang tidak dipercayai.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Israel, Yossi Levy menyifatkan tuduhan pemimpin Hizbullah itu terhadap rejim tersebut sebagai tidak berasas. - AP
Tribunal itu masih belum memutuskan siapa yang akan didakwa, tetapi Sheikh Hassan pada bulan lalu berkata, beliau tahu Hizbullah akan disenaraikan. - AP
0 comments:
Post a Comment