Saturday, August 21, 2010

Rundingan PALESTIN-Israel 2 September

BAITULMAQDIS 20 Ogos - Kuasa-kuasa dunia yang menyertai kuartet damai Asia Barat akan menjemput Israel dan Palestin untuk memulakan rundingan damai secara langsung di Washington pada 2 September ini.

Duta-duta daripada Kuartet damai Asia Barat itu terdiri daripada Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini membincangkan draf kenyataan untuk mempelawa kedua-dua pihak ke meja rundingan bagi memeterai perjanjian damai dalam masa setahun, menurut sumber diplomatik semalam.

Butir-butir kenyataan itu sudah dipersetujui oleh duta-duta kuartet dan satu kenyataan rasmi dijadual dikeluarkan, hari ini.

"Mereka mencapai persetujuan supaya rundingan bermula di Washington pada 2 September," katanya.

Israel dan Palestin dijangka bersetuju untuk hadir dan Presiden AS, Barack Obama akan menghadiri rundingan tersebut, menurut sumber itu.

Kuartet pada Jun lalu berkata, rundingan damai dijangka selesai dalam tempoh 24 bulan tetapi draf kenyataan itu menyebut tempoh 12 bulan.

Kerajaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) merancang untuk menetapkan semua ciri negara Palestin menjelang pertengahan tahun depan.

Diplomat juga berkata, perkara yang semakin menerima perhatian ialah perisytiharan negara Palestin yang dibuat secara unilateral boleh mendapat sokongan jika rundingan tidak bermula atau menemui kegagalan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Proses damai tidak langsung menerusi perantaraan Duta AS, George Mitchell bermula pada Mei lalu selepas terhenti selama 19 bulan tetapi langkah untuk beralih kepada rundingan langsung terbantut disebabkan pertikaian mengenai syarat-syaratnya.

Israel berkata, ia bersedia untuk mengadakan rundingan langsung tanpa prasyarat.

Palestin juga bersedia asalkan terdapat agenda yang jelas, tetapi Israel menganggap agenda sebagai menandakan prasyarat.

Menyelesaikan pertikaian berhubung syarat-syarat itu adalah penting, kata diplomat. - Reuters

sumber

0 comments: