Monday, August 16, 2010

UAE Pertikai JERMAN Lepaskan Agen Israel

DUBAI 15 Ogos - Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bimbang dengan tindakan Jerman membebaskan seorang lelaki yang didakwa sebagai ejen Israel dan disyaki terlibat dengan pembunuhan seorang pemimpin Hamas di Dubai pada Januari lalu.

Penolong Menteri Luar UAE bagi hal-ehwal undang-undang, Abdurahim al-Awadhi melahirkan 'kebimbangan Uri Brodsky dibebaskan dengan ikat jamin untuk pulang ke Israel sedangkan kes terhadapnya masih diteruskan', menurut kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi, WAM semalam.

Mahkamah di Jerman kelmarin membebaskan lelaki tersebut yang didakwa sebagai ejen agensi pengintipan Israel, Mossad dan disyaki terlibat dengan pembunuhan komander tentera Hamas, Mahmud al-Mabhuh di dalam bilik sebuah hotel di Dubai.

Kementerian Luar UAE 'menuntut penjelasan hari ini (semalam) daripada kerajaan Jerman berhubung kes Brodsky', menurut kenyataan itu.

Awadhi berkata, negaranya meminta jaminan Brodsky tidak ada kaitan dengan pembunuhan Mabhuh.

"Memandangkan kes ini mungkin berkaitan dengan jenayah berat yang dilakukan di Dubai, UAE meminta kerjasama penuh daripada pihak berkuasa Jerman dan akan terus menangani perkara ini menerusi saluran diplomatik," menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa Poland menangkap Brodsky di lapangan terbang Warsaw pada Jun lalu sebelum mengekstradisikannya ke Jerman pada Khamis lepas kerana disyaki memperoleh sebuah pasport Jerman secara haram atas nama Michael Bodenheimer.

Pasport itu kemudian didapati digunakan oleh seorang anggota dalam pasukan yang membunuh Mabhuh.

Pasukan pembunuh yang dipercayai dihantar oleh Mossad itu didapati menggunakan 26 pasport asing palsu, mencetuskan perbalahan diplomatik bukan sahaja dengan Jerman tetapi juga Australia, Britain, Perancis dan Ireland. - AFP

sumber

0 comments: