MATARAM 30 Ogos - Pihak berkuasa Indonesia menangkap seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan menghina agama selepas dia mencabut kabel pembesar suara di sebuah masjid kerana tidurnya terganggu.
Luke Gregory Lloyd, 64, ditahan selepas dia mengganggu jemaah yang bertadarus di sebuah masjid dekat rumahnya di Pulau Lombok kerana bacaan ayat suci diperdengarkan menerusi pembesar suara sepanjang bulan Ramadan.
Insiden itu berlaku pada 22 Ogos lalu dan Lloyd diletakkan dalam tahanan polis di sebuah hotel sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
"Dia marah kerana bacaan al-Quran menyebabkan dia terjaga. Dia memarahi jemaah sebelum mencabut kabel pembesar suara," kata anggota polis, Lalu Mahsun.
Dia boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun mengikut undang-undang mencegah penghinaan agama di negara ini.
Polis juga berkata, visa Lloyd tamat tempoh pada 2006. - AFP
0 comments:
Post a Comment