PESHAWAR 31 Ogos - Wilayah Sindh kira-kira 53 kilometer dari Karachi, Pakistan merupakan antara kawasan terbaru banjir yang menyebabkan lebih tujuh juta penduduk hilang tempat tinggal dan menjadi tumpuan terbaru sukarelawan Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan di Pakistan.
Perkembangan terbaru itu membuatkan anggota Misi Bantuan Kemanusiaan Pakistan anjuran Kelab Putera 1Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) memberi tumpuan kepada wilayah tersebut dalam tempoh terdekat ini untuk menyelaras bantuan walaupun cabaran besar menanti anggota-anggota terbabit.
Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Abdul Khalid Abassi Abdul Razak berkata, setakat ini sebanyak 19 daripada 23 daerah di wilayah berkenaan sedang berdepan dengan situasi buruk itu.
"Berikutan perkembangan tersebut, kita berharap misi bantuan kemanusiaan oleh Kelab Putera 1Malaysia menumpukan wilayah ini," katanya.
Beliau ditemui selepas memberikan taklimat terperinci mengenai situasi kritikal itu kepada sukarelawan misi tersebut yang diketuai Pengarah Operasi Bencana, Nasir Khan Abdul Rahman dan penyelaras misi, Abdul Mutalif Abdul Rahim serta tujuh sukarelawan.
Kata beliau, setakat ini, pihaknya dimaklumkan bahawa kerugian dianggarkan RM200 juta akibat kemusnahan yang berlaku.
Abdul Khalid berkata, berikutan kejadian itu, kira-kira 2,000 khemah dijadikan penempatan sementara oleh 41,000 mangsa bencana terbabit di kawasan-kawasan selamat termasuk di tepi jalan raya.
"Semua penduduk di kawasan terjejas teruk ini sedang berdepan dengan krisis kemanusiaan berikutan masih belum ada bantuan diterima daripada mana-mana pihak,'' ujarnya.
Menurut beliau, keadaan itu akan bertambah rumit jika aliran air berterusan beberapa hari lagi yang akan mencetuskan fenomena dan krisis kemanusiaan berlarutan.
Katanya, sehingga kini belum terdapat pihak menyelaras bantuan termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mangsa terbabit di wilayah berkenaan.
Jelas beliau, kehadiran anggota misi dari Malaysia sekurang-kurangnya dapat meringankan penderitaan penduduk terbabit. - Utusan
0 comments:
Post a Comment