Wednesday, September 1, 2010

Gambar Bangkai Kapal Titanic Terkini



IMEJ terbaru yang dirakam menggunakan teknologi canggih pada 28 Ogos lalu, menunjukkan kemudi kapal penumpang Titanic yang tenggelam setelah melanggar ketulan ais besar di Lautan Atlantik pada 1912 dan mengorbankan lebih 1,500 penumpang dan krew kapal tersebut. - AP


ST. JOHN'S 31 Ogos - Satu ekspedisi terbaru kajian kapal Titanic telah menghasilkan gambar yang lebih jelas memaparkan keadaan semasa bangkai kapal terkenal di dunia itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur misi itu, Expedition Titanic berkata, mereka kini dalam perjalanan pulang ke Newfoundland apabila paras laut meningkat dan angin kuat yang boleh menyebabkan terjadinya taufan Danielle, sekali gus mengganggu para penyelidik melakukan kajian mereka.

Ekspedisi yang disertai sekumpulan saintis itu menggunakan beberapa pasang robot untuk mengambil beribu-ribu gambar serta membuat rakaman video tentang keadaan bangkai kapal yang tenggelam sedalam 4 kilometer di dasar laut itu.

Gambar yang diambil menggunakan kamera berteknologi tinggi itu dengan jelas menunjukkan keadaan landasan dan sauh kapal tersebut.

Kumpulan ekspedisi tersebut memulakan pelayaran dari Newfoundland awal bulan ini untuk ke tempat kapal itu melanggar ketulan ais besar pada 1912 sebelum karam di perairan Atlantik hingga mengorbankan lebih 1,500 penumpang dan krew kapal.

Para saintis mengambil gambar menggunakan teknologi terkini dan alat sonar yang tidak pernah digunakan sebelum ini untuk mendapatkan gambaran yang jelas tentang cara pembuatan artifak kapal berkenaan.

Ekspedisi itu merupakan anjuran bersama organisasi yang mempunyai terhadap bangkai kapal itu, RMS Titanic Inc. dan Institut Oseanografi Woods Hole di Massachusetts.

Dalam pada itu, kumpulan ekspedisi itu berkata, mereka bercadang untuk kembali ke lokasi itu bagi meneruskan penyelidikan selepas beberapa hari misi itu ditangguhkan.

Sejak ahli oseanografi, Robert Ballard dan kumpulannya menjumpai bangkai kapal Titanic itu pada 1985, beberapa ekspedisi telah dilakukan untuk mengumpul beberapa maklumat tentangnya.

Pengarah filem Titanic, James Cameron turut mengadakan ekspedisi ke lokasi itu bagi mendapatkan gambaran jelas tentang keadaan rupa bentuk kapal tersebut. - AP

sumber

No comments: