Thursday, September 2, 2010

Israel tutup sebahagian Tebing Barat

HEBRON 1 Sept. - Pasukan tentera Israel hari ini menutup sebahagian Tebing Barat manakala pegawai keselamatan Palestin menahan kira-kira 150 orang selepas empat penduduk penempatan haram Yahudi ditembak mati menjelang rundingan damai Asia Barat.

Penduduk penempatan yang lain bertekad melanggar penangguhan pembinaan sebagai protes terhadap serangan itu ketika ketegangan meningkat menjelang sidang kemuncak yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bertujuan melancarkan semula rundingan selepas tertunggak pada 2008.

Askar Yahudi melakukan pencarian rumah ke rumah di beberapa perkampungan di Hebron, dekat dengan penempatan Kiryat Arab di mana dua pasangan termasuk seorang wanita hamil dibunuh semalam.

Laluan masuk ke bandar Hebron juga ditutup dengan sekatan jalan raya pihak tentera.

Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Gabi Ashkenazi dan jeneral lain berada di tempat kejadian di mana mereka menjalankan 'penilaian situasi operasi dan perisikan', demikian menurut kenyataan tentera.

"Kami beroperasi di beberapa peringkat berbeza sejak insiden berlaku dan akan terus bertindak sehinggalah pengganas terlibat ditangkap," ujar Ashkenazi.

Pasukan keselamatan Palestin pula menangkap kira-kira 150 orang yang disyaki penyokong Hamas.

Kenderaan dengan percikan darah di tepi jalan dipenuhi kesan tembakan peluru dalam apa yang disifatkan tentera Israel sebagai dilakukan dengan menaiki sebuah kenderaan lain.

Briged Ezzedine al-Qassam, sayap bersenjata Hamas mengaku bertanggungjawab kerana menentang rundingan antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang akan dilancarkan semula esok. - AFP

Sumber

0 comments: