![]() |
| KANAK-KANAK mangsa banjir di Pakistan ini dihurung lalat semasa menikmati susu di kem pemindahan sementara mangsa banjir di Sukkur, wilayah Sindh, kelmarin. - REUTERS |
THATTA Pakistan 1 Sept. - Beratus-ratus mangsa banjir yang kelaparan, menyekat sebuah lebuh raya di kawasan selatan negara ini yang dilanda banjir, menuntut kerajaan membekalkan lebih banyak makanan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang 'tiga ancaman' terhadap mangsa yang terdesak.
Sehingga 500 mangsa banjir dari kem bantuan yang dikendalikan kerajaan di bandar Thatta, di wilayah Sindh yang paling teruk dilanda banjir, menyekat jalan raya utama antara bandar karachi dan Thatta selama tiga jam bagi meminta kerajaan membekalkan makanan dan tempat perlindungan.
"Tiada makanan atau minuman diberikan kepada kami sejak dua hari lalu," kata penduduk bandar Sujawal yang dilanda banjir, Mohammad Qasim, 60.
Program Makanan Sedunia (WFP) mengeluarkan satu amaran tentang ancaman kepada bekalan makanan selepas bencana selama sebulan itu menjejaskan 18 juta penduduk Pakistan, ketika paras banjir mula surut ke Laut Arab.
Kerajaan Pakistan yang tercemar dengan rasuah dan mundur disebabkan kerenah birokrasi dan peperangan, dipersendakan oleh media tempatan ekoran kelewatannya memberi respons kepada banjir dan menjadi sasaran kemarahan penunjuk perasaan yang terjejas.
Sementara masyarakat antarabangsa kini telah menyumbang AS$700 juta (RM2.24 bilion) kepada Pakistan, kemarahan rakyat tempatan semakin memuncak terhadap kerajaan yang berhadapan pelbagai krisis dalam tempoh 30 bulan lalu sejak pilihan raya.
"Terdapat tiga ancaman ketika krisis ini semakin meluas dan mendalam," kata ketua WFP, Josette Sheeran pada satu sidang media di Islamabad selepas melawat kawasan terjejas banjir.
Katanya, tiga ancaman itu adalah rakyat kehilangan biji benih, tanaman serta pendapatan, mengakibatkan mereka terdedah kepada lapar, tiada tempat perlindungan dan terdesak, yang juga satu situasi sangat kritikal.
Kemusnahan kepada kawasan pertanian dan jaringan pengangkutan menyebabkan harga makanan naik mendadak, menambah kekecewaan di kalangan mangsa yang sedang berhadapan kesukaran meneruskan kehidupan di negara yang masih goyah dari segi ekonomi ini.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen hari ini, Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani memberitahu Kabinetnya bahawa banjir telah memusnahkan infrastruktur pada skala besar dan kerajaan sedang cuba mengendalikan krisis tersebut.
Menurut data terbaru PBB, banjir menenggelamkan satu per lima daripada Pakistan yang dihuni 167 juta penduduk dengan 3.5 juta hektar daripada kawasan pertanian dilaporkan musnah. - AFP

0 comments:
Post a Comment