THATTA, Pakistan 3 Sept. - Mangsa banjir Pakistan di kem-kem perlindungan bertindak ganas berikutan bekalan bantuan yang tidak mencukupi sehingga menjejaskan operasi bantuan, lapor Palang Merah, hari ini.
Pekerja bantuan berkata, mereka terpaksa melarikan diri apabila mangsa banjir yang tinggal di kem-kem perlindungan sementara bertindak ganas apabila bantuan lambat diterima dan tidak memenuhi keperluan.
Protes yang berlaku secara spontan itu turut menyebabkan jalan-jalan terpaksa ditutup.
Ketua operasi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) bagi Asia Selatan, Jacques de Maio berkata, pihaknya terpaksa menghentikan dua operasi pengagihan bantuan, baru-baru ini disebabkan kekacauan tersebut.
"Kami melihat kecenderungan yang sangat membimbangkan di beberapa kawasan di mana penduduk yang sangat memerlukan bantuan menjadi begitu marah kerana bantuan itu tidak mencukupi dan mereka kemudian bertindak agresif.
"Perkembangan itu tidak baik kerana menjejaskan usaha kami untuk menyalurkan bantuan kepada lebih ramai mangsa banjir," katanya di Geneva, semalam.
Pekerja bantuan daripada badan kebajikan Pakistan, Yayasan Edhi berkata, dia menyaksikan tiga insiden ganas di bandar Thatta, wilayah Sindh dalam beberapa hari lalu.
"Penduduk bertindak ganas kerana tidak ada penyelarasan antara pelbagai agensi bantuan dan kerajaan. Ini menyebabkan bekalan bantuan lewat disalurkan, sekali gus mencetuskan kemarahan penduduk," katanya. - AFP
0 comments:
Post a Comment