Saturday, September 18, 2010

Mengenang Shabra & Shatilla

Haluan Palestin

Peristiwa pembunuhan dan penyembelihan beramai-ramai
rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila dari 16
hingga 18 September 1982 tidak mungkin terpadam daripada
sejarah kemanusiaan, walaupun media arus perdana
seakan-akan tidak pernah tahu tentang hakikat peristiwa tragis itu.









Serangan dan pembunuhan di Sabra dan Shatila itu merupakan

salah satu daripada rentetan sikap keji yang dilakukan oleh rejim

pengganas Zionis Israel atas arahan secara langsung oleh Menteri

Pertahanan ketika itu, Ariel Sharon. Sharon menggunakan taktik

jahat dan hina dengan mengambil kesempatan daripada krisis militia

Palangist Kristian di Lubnan bagi menghancurkan rakyat Palestin

yang terpaksa menumpang hidup di kem-kem pelarian berkenaan.

Batalion Palangist ini menyerang, menyiksa dan membunuh secara

kejam wanita, anak-anak dan warga tua sementara tentera Zionis

yang mengawal perimiter kem-kem tersebut membiarkan sahaja

keganasan itu berlaku dan menghalang pihak luar daripada memasuki kawasan.


Serangan brutal dan tragis selama 3 hari itu telah mengorbankan

seramai 3,500 pelarian Palestin. Ramai lagi dilaporkan hilang dan

terkubur di bawah runtuhan bangunan. Ratusan mangsa serangan

yang masih hidup telah dibawa menaiki trak menuju ke tempat misteri,

yang sehingga ke hari ini tidak diketahui nasib mereka.

Bukan sahaja tentera Zionis tidak mengambil sebarang tindakan

untuk menghalang serangan dan pembunuhan, malahan mereka

membantu puak militia Palangist dengan tembakan-tembakan

cahaya ke udara supaya pembunuhan dapat diteruskan pada waktu malam.

Siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Kahan di bawah

arahan pemerintah rejim Zionis pada bulan Februari 1983

memutuskan bahawa Sharon telah bersalah secara langsung

kerana membenarkan puak Palangist masuk ke kem-kem tersebut

dan seterusnya gagal menghalang pembunuhan ribuan orang awam.

Tentera Sharon juga membekalkan senjata dan peralatan

kepada Palangist dan menyediakan pengangkutan untuk

membawa masuk militia.








Walaupun sikap keji Zionis ini mendapat kutukan dunia,

termasuk negara-negara Barat sendiri, Pertubuhan Bangsa-

bangsa Bersatu (PBB) dan juga Majlis Keselamatan PBB

terus menunjukkan sikap dingin terhadap desakan supaya

menghukum mereka yang ternyata bersalah.

PBB mengutuk tindakan zalim Zionis ini melalui Resolusi 521

(19 September 1982,) namun tidak pernah ada sebarang

hukuman dikenakan terhadap Sharon, pemerintah mahupun

tentera Zionis. Malahan ramai daripada keluarga

mangsa-mangsa pembunuhan itu terpaksa membuat

dakwaan secara sendirian ke atas Sharon.

Pada bulan Februari 2003, Mahkamah Tinggi Belgium

memutuskan untuk membicara kes jenayah perang

ke atas Sharon, tetapi Israel menuduh tindakan tersebut

sebagai berbau politik. Pada bulan September 2003,

memandangkan tidak seorangpun daripada mereka

yang membuat dakwaan ke atas Sharon berbangsa Belgium,

Mahkamah Tinggi Belgium terpaksa menggugurkan kes ini.

Mereka yang bersalah terus bebas dan merencana kezaliman

demi kezaliman ke atas kemanusiaan, khususnya ke atas rakyat Palestin. (mn/Maan)


SUMBER

0 comments: