PARIS 28 Sept. - Utusan Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, George Mitchell bergegas ke rantau itu hari ini dalam usaha menyelamatkan rundingan damai selepas Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menuntut agar pembekuan baru dikenakan ke atas penempatan haram Yahudi.
Rundingan yang dilancarkan 2 September lalu selepas berbulan-bulan usaha diplomasi dibuat, berada di ambang kehancuran selepas tempoh pembekuan pembinaan penempatan haram baru di Tebing Barat tamat pada Ahad lalu.
Abbas menyatakan beliau tidak akan memberi respons rasmi kepada tindakan tersebut sehinggalah bermesyuarat dengan kepimpinan Palestin minggu ini dan Menteri-menteri Luar Arab pada 4 Oktober ini, namun menegaskan pembinaan haram itu perlu ditangguhkan semasa rundingan damai dibuat.
Bercakap dalam satu wawancara dengan stesen radio Perancis, Europe 1 di Paris, Abbas berkata, keputusan rejim itu yang membiarkan tempoh pembekuan selama 10 bulan berakhir Ahad lalu, membahayakan proses damai Asia Barat.
"Kami menuntut satu tempoh pembekuan baru selama mana rundingan dijalankan, kerana ada harapan di sepanjang rundingan.
"Kami tidak mahu menghentikan rundingan ini, tetapi jika pembinaan rumah haram itu diteruskan, kami terpaksa menghentikannya," kata Abbas lagi.
Tambah beliau, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu perlu faham yang proses damai lebih penting berbanding pembinaan penempatan haram Yahudi.
Netanyahu dan Setiausaha Negara Hillary Clinton berbincang mengenai pembekuan itu melalui telefon lewat semalam yang disifatkan jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley sebagai 'sangat penting, sangat terperinci, sangat berterus-terang.'
Keengganan Netanyahu untuk melanjutkan tempoh pembekuan tersebut telah mengancam rundingan damai yang tidak menentu dan mendapat kutukan hebat dari Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Perancis dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP
Sumber
0 comments:
Post a Comment