Thursday, September 23, 2010

Rejim Zionis Diminta Tangguh Petempatan Yahudi

NEW YORK 22 Sept. - Perunding damai Kuartet Asia Barat semalam menggesa Israel melanjutkan tarikh akhir penangguhan pembinaan penempatan dan meminta pegawai Palestin serta rejim tersebut memastikan rundingan damai Israel-Palestin diteruskan.

Kenyataan itu dikeluarkan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah, Rusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) pada satu majlis sampingan sempena Perhimpunan Agung PBB, beberapa hari sebelum tempoh penangguhan pembinaan penempatan Israel berakhir 30 September ini, satu tarikh akhir yang banyak pihak percaya boleh merencatkan rundingan damai.

"Kuartet Asia Barat maklum bahawa penangguhan sementara pembinaan penempatan Israel yang diperkenalkan November tahun lalu, membawa kesan positif dan menggesa ia dilanjutkan," menurut kenyataan tersebut yang diperoleh Reuters kelmarin.

Palestin mengancam untuk meninggalkan rundingan sekiranya pembinaan penempatan Yahudi diteruskan apabila sebahagian tempoh penangguhan berakhir, sementara Israel menyatakan pihaknya tidak akan melanjutkan tarikh tersebut walaupun dalam tempoh terhad.

AS kini berusaha mengekalkan momentum rundingan damai, yang disambung semula 2 September lalu di Washington dengan satu tekanan diplomatik dari Presiden Barack Obama dan menetapkan sasaran untuk menyelesaikan isu yang telah berpanjangan selama berdekad-dekad itu dalam masa setahun.

Jurucakap Jabatan Negara, P.J. Crowley berkata, utusan damai Asia Barat, George Mitchell telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Israel dan Palestin semalam, termasuk sekurang-kurangnya satu pertemuan bersama yang dihadiri tiga pihak AS, Israel dan Palestin.

Crowley berkata, pertemuan tersebut dihadiri ketua perunding Israel, Yitzhak Molcho serta ketua perunding Palestin, Saeb Erekat.

"Kami berusaha sekuat mungkin supaya kami boleh menunjukkan komitmen kami kepada proses ini dan menggalakkan pihak-pihak terbabit berbuat apa sahaja agar rundingan boleh terus dijalankan," katanya pada satu sidang akhbar.

Katanya, ketiga-tiga perunding itu membincangkan tentang pertemuan akan datang yang mungkin antara Obama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, namun menambah beliau tidak 'pasti tentang sebarang pertemuan yang dijadualkan buat masa ini'. - Reuters

sumber

0 comments: