Friday, October 22, 2010

31 Juta Rakyat INDONESIA Kebuluran

LOMBOK TENGAH 21 Okt. - Kira-kira 31 juta rakyat Indonesia masih lagi dihimpit kemiskinan dan kebuluran serta hidup di bawah garis kemiskinan, kata Ketua Menteri Agung Laksono yang dipetik agensi berita Antara.

"Masalah kemiskinan dan kelaparan adalah rumit dan sering menjadi cabaran politik. Tiada pendekatan mudah untuk menghadapi cabaran ini namun beberapa perkara boleh diatasi dengan mengenal pasti tindakan berkesan," kata beliau.

Agung berkata demikian semasa merasmikan upacara peringatan Hari Makanan Sedunia di Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat bersempena ulang tahun ke-30 sambutan tersebut.

Tambah beliau, tiada rakyat Indonesia yang mahu berada dalam keadaan kelaparan dan semua 236 juta rakyat negara ini perlu bersatu untuk membantu kerajaan mengatasi kelaparan.

Kata Agung, peranan lebih proaktif perlu dimainkan pihak berkuasa tempatan peringkat wilayah dan daerah bagi menggalakkan komuniti setempat membangunkan pertanian dan mengekalkan potensi makanan termasuk memelihara hutan.

"Makanan yang cukup adalah lebih penting daripada pemulihan makanan. Jadi kerajaan perlu mengutamakan sektor makanan domestik serta sumber tempatan.

"Jika kita mengabaikan makanan tempatan, sebenarnya kita mengurangkan bekalan makanan negara," jelas beliau.

Agung berkata, kerajaan sedang berusaha memperkenalkan program pergantungan sendiri yang dapat dikekalkan dengan meningkatkan hasil dan produktiviti peladang dan nelayan. - BERNAMA

sumber

1 comment:

Nur Misnan said...

salam..
masih tetap membantu pada yang susah
insyaAllah...