Tuesday, October 19, 2010

Abbas: PALESTIN sedia gugur tuntutan

RAMALLAH 18 Okt. - Pihak Palestin bersedia menggugurkan semua tuntutan ke atas Israel apabila mereka menubuhkan negara Palestin di wilayah yang diduduki oleh rejim Zionis itu semasa Perang Asia Barat 1967.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata demikian semalam sebagai mengulas satu tuntutan yang telah lama dibangkitkan oleh Israel.

Beliau tidak menyebut secara khusus tuntutan-tuntutan yang hendak digugurkan tetapi salah satu tuntutan utama pihak Palestin ialah hak pelarian Palestin untuk pulang ke kampung halaman mereka di wilayah Israel, selepas mereka diusir oleh Israel semasa perang tersebut.

Abbas dalam wawancara dengan televisyen Israel juga berkata, rundingan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu masih menjadi keutamaannya tetapi beliau akan menimbangkan pilihan lain jika rundingan gagal kerana Israel terus meluaskan kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.

Rundingan langsung dilancarkan semula oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bulan lepas, tetapi terhenti tidak lama kemudian disebabkan keengganan Israel untuk melanjutkan tempoh pembekuan kegiatan pembinaan perumahan haram Yahudi di wilayah Palestin.

Abbas berkata, tidak ada gunanya berunding selagi pendatang haram Yahudi terus merampas semakin banyak tanah Palestin.

Penduduk Palestin mahu menubuhkan sebuah negara di Tebing Barat, Genting Gaza dan timur Baitulmaqdis, yang ditawan oleh Israel pada perang 1967.

Israel sudah berundur dari Genting Gaza tetapi kira-kira setengah juta rakyat Israel mendirikan penempatan haram di kawasan lain yang ditawan daripada Palestin semasa perang.

Netanyahu mahu Palestin mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara Yahudi dan awal minggu ini berkata, beliau mungkin melanjutkan tempoh pembekuan kegiatan pembinaan penempatan Yahudi jika Israel mendapat pengiktirafan tersebut.

Kata Abbas, Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengiktiraf satu sama lain pada 1993 dan pengiktirafan sedemikian sudah memadai. - AP

Sumber

No comments: