Monday, October 4, 2010

AMERIKA: Pusat Islam New York berciri moden



Lakaran pusat Islam yang dikeluarkan oleh SOMA Architects kelmarin bercirikan reka bentuk moden merakamkan pemandangan luaran pusat tersebut yang dirancang dibina dekat Ground Zero di New York. - AP


NEW YORK 3 Okt. - Lakaran pusat Islam yang dirancang pembinaannya dekat Ground Zero di sini menggambarkan ia mempunyai ciri-ciri reka bentuk moden yang lebih futuristik dan menarik.

Gambar lakaran yang dipamerkan di laman web rasmi projek tersebut masih di peringkat cadangan, tetapi pemajunya telah menyatakan hasrat untuk menggunakan reka bentuk yang santai dan kosmopolitan di tapak kontroversi itu.

"Kami mahu ia menggabungkan ciri-ciri reka bentuk Islam dan moden bandar New York, selain mengekalkan konsep kehijauan yang menenangkan.

"Saya yakin selepas ia siap sepenuhnya, tidak ada mana-mana pihak yang akan menganjurkan piket untuk membantah pembinaannya kerana reka bentuknya yang moden," kata pemajunya, Sharif El-Gamal.

Kata Sharif, upacara pecah tanah projek itu mungkin diadakan dua atau tiga tahun lagi, tetapi beliau berharap, ia dapat dilakukan secepat mungkin.

Empat tingkat daripada pusat Islam setinggi 16 tingkat itu, akan dilengkapi dengan pusat sukan, jimnasium dan kolam renang, manakala satu tingkat lagi akan dijadikan pusat penjagaan dan tempat permainan kanak-kanak.

Bangunan berkenaan juga akan dilengkapi beberapa buah restoran, kelas memasak, studio rakaman, pusat pameran dan auditorium yang disediakan untuk penganjuran upacara kebudayaan.

Menurut Sharif, pihaknya merancang untuk menyediakan kemudahan yang membolehkan masyarakat setempat melakukan pelbagai aktiviti termasuk melakukan senaman harian serta tempat untuk pasangan muda beragama Islam mengadakan temu janji makan malam.

Dewan solat dua tingkat pula akan dibina terletak di tingkat bawah pusat Islam itu.

Di tingkat 12 bangunan itu pula akan menempatkan memorial bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam serangan 11 September dan ia akan dibuka kepada semua pelawat dari pelbagai agama. - AP

Sumber

No comments: