Wednesday, October 6, 2010

INDONESIA: 56 maut banjir di wilayah Papua



Penduduk Kampung Wasior melihat keadaan rumah mereka yang ranap akibat tanah runtuh berikutan banjir di wilayah Papua, Indonesia, semalam. – AP


WONDAMA 5 Okt. – Hujan lebat selama beberapa hari di wilayah Barat Papua, Indonesia mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat mengakibatkan sekurang-kurangnya 56 orang terbunuh dan lebih beratus-ratus kediaman rosak.

Penduduk di Wasior, sebuah perkampungan di tepi bukit wilayah Barat Papua menggali runtuhan tanah bagi mencari kaum keluarga mereka yang tertimbus menggunakan tangan.

“Saya terdengar bunyi kuat dan air sungai di tepi rumah saya naik mendadak. Air sungai itu bercampur dengan batu, lumpur dan kayu-kayu balak.

“Ramai yang tidak sempat menyelamatkan diri,” kata Wanoni yang menyatakan bahawa banjir itu berlaku awal, semalam.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana tempatan, Decky Amnir berkata, sekurang-kurangnya 56 orang terbunuh manakala lebih 60 lagi cedera dan dihantar ke hospital berdekatan.

“Beberapa penduduk dipindahkan menggunakan helikopter,” katanya kepada wartawan di daerah Wondama sambil menambah kata bahawa lapangan terbang tempatan turut mengalami kerosakan.

Sekurang-kurangnya 30 kediaman musnah dan beribu-ribu orang telah dipindahkan dari kawasan itu.

“Kami memerlukan khemah-khemah untuk menempatkan penduduk yang dipindahkan serta bekalan perubatan,” jelas Decky. – AP

Sumber

No comments: