Saturday, October 2, 2010

INDONESIA Kecam Festival Homoseksual

JAKARTA 1 Okt. - Majlis Ulama Indonesia hari ini menyifatkan homoseksual sebagai mencabuli hak asasi manusia dan menggesa kerajaan mengharamkan festival homoseks dan lesbian yang sedang berlangsung di negara ini.

Majlis itu dalam satu kenyataan berkata, hak manusia yang diberikan oleh Allah ialah berkahwin antara lelaki dan wanita sementara berkahwin sesama jenis adalah haram.

Badan tertinggi Islam di negara ini turut mengecam pusat budaya asing kerana menayangkan filem-filem berunsur homoseksual di kawasan persendirian, tiga hari selepas berpuluh-puluh pertubuhan Islam mengadakan protes di luar kawasan festival itu diadakan.

"Kami menolak penayangan filem-filem yang mengandungi kehidupan homoseksual kerana bertentangan dengan nilai-nilai budaya Islam dan Indonesia.

"Wakil-wakil asing termasuk pusat budaya Jerman dan Perancis perlu menunjukkan rasa hormat kepada kedaulatan negara ini. Mereka tidak sepatutnya membawa budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai tempatan," kata pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Ma'ruf Amin.

Institut Goethe Jerman, Yayasan Jepun, Erasmus House of The Netherland dan Pusat Budaya Perancis sedang menayangkan filem-filem berunsur homoseksual, sementara festival itu dianjurkan oleh penduduk tempatan terbabit.

Festival Q! ini merupakan edisi keenam dan menjadi festival terbesar seumpamanya di Asia dan satu-satunya di dunia Islam, menunjukkan Indonesia sebagai negara yang secara umum mempunyai fahaman sederhana dan bertoleransi.

Bagaimanapun konservatisme semakin kuat dan lantang.

Menteri Komunikasi, Tifatul Sembiring kelmarin meletakkan komennya dalam laman web Twitter menuduh 'kegiatan seks sumbang ini' sebagai punca penyebaran penyakit AIDS dan memetik ayat al-Quran yang membaling batu kepada kaum ini.

Kira-kira 150 filem dari lebih 20 negara termasuk Perancis, Jepun dan Filipina akan ditayangkan pada festival selama sebulan ini, yang bermula Jumaat lalu. - AFP

sumber

No comments: