Monday, October 4, 2010

IINDONESIA siasat punca kemalangan kereta api

JAKARTA 3 Okt. - Polis Indonesia dan pegawai pengangkutan hari ini melancarkan siasatan bersama berhubung insiden perlanggaran kereta api di Jawa Tengah, semalam yang mengorbankan 36 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

"Polis dan suruhanjaya keselamatan pengangkutan sedang menyiasat sekiranya terdapat faktor kecuaian dalam kejadian tersebut.

"Kita akan menyiasat punca kejadian sama ada ia disebabkan individu yang mengawal kereta api tersebut atau pihak yang bertanggungjawab menetapkan laluan perjalanan. Siasatan akan mengambil masa kira-kira seminggu," kata jurucakap polis kebangsaan, Marwoto Soeto kepada AFP.

Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT), Tatang Kurniadi berkata, siasatan menyeluruh hanya akan disiapkan dalam masa antara tiga hingga empat bulan.

"Kita perlu mengambil kira semua aspek, faktor manusia dan mekanikal. Kita juga perlu menyiasat keseluruhan sistem sebelum membuat kesimpulan sama ada insiden itu melibatkan kecuaian manusia atau faktor lain," katanya.

Polis melaporkan, seramai 36 terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera teruk selepas sebuah kereta api merempuh bahagian belakang sebuah lagi kereta api yang berhenti di Stesen Petarukan Pemalang, Jawa Tengah awal pagi semalam.

Insiden tersebut berlaku ketika kebanyakan penumpang sedang tidur di dalam sebuah kereta api yang berhenti di stesen tersebut sebelum sebuah lagi kereta api dari Jakarta tiba-tiba melanggarnya pada pukul 3 pagi waktu Indonesia (pukul empat pagi waktu Malaysia).

Akibat perlanggaran tersebut, kereta api yang terlibat remuk dan rosak teruk dan serpihannya bertaburan di tempat kejadian.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono turut mengarahkan satu siasatan menyeluruh dijalankan dan berkata, hukuman akan dikenakakan sekiranya insiden itu didapati berpunca daripada kecuaian. - AFP

Sumber

No comments: