Saturday, October 16, 2010

LEBANON: Ahmadinejad terima hadiah raifal



Hassan Nasrallah (kanan) menghadiahkan selaras raifal yang dirampas daripada seorang anggota tentera Israel kepada Ahmadinejad pada akhir lawatan Presiden Iran itu ke Lebanon di Kedutaan Iran di Beirut, kelmarin. - AFP


BEIRUT 15 Okt. - Pemimpin pergerakan Hizbullah, Hassan Nasrallah menghadiahkan selaras raifal yang dirampas daripada seorang askar Israel, kepada Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad pada akhir lawatan beliau ke Lebanon.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan di Kedutaan Iran di Beirut lewat semalam pada akhir lawatan dua hari Ahmadinejad ke negara ini.

Semasa lawatan itu, Ahmadinejad mengunjungi kawasan selatan Lebanon yang bersempadan dengan Israel dalam langkah yang dilihat sebagai mencabar rejim Zionis itu.

Hizbullah dalam kenyataannya berkata, Ahmadinejad dan Nasrallah telah membincangkan lawatan 'bersejarah' pemimpin Iran itu.

Sebagai tanda penghargaan dan kesetiaan, Nasrallah menghadiahkan selaras raifal yang dirampas daripada seorang askar Israel semasa perang Hizbullah dengan tentera rejim Yahudi itu pada 2006.

Lawatan Ahmadinejad menunjukkan pengaruh luas yang dimainkan oleh Iran di Lebanon menerusi proksinya, Hizbullah, iaitu kuasa tentera dan politik terbesar di negara ini.

Namun, lawatan itu dikecam oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel serta blok pro-Barat di Parlimen Lebanon yang menyifatkannya sebagai satu provokasi dan percubaan untuk menggambarkan Lebanon sebagai 'pangkalan Iran di Mediterranean'. - AFP

Sumber

No comments: