Thursday, October 7, 2010

NATO terus diserang



Api marak dengan asap tebal memenuhi ruang udara di bandar Quetta selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang lalu membakar 10 tangki minyak NATO di Quetta, semalam. – AFP


QUETTA 6 Okt. – Seorang terbunuh apabila sekurang-kurangnya 10 lori tangki minyak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dibakar di bandar Quetta, barat daya Pakistan hari ini, serangan keempat seumpamanya dalam masa enam hari.

Pegawai kanan polis, Hamid Shakeel berkata, sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang terminal di mana 40 lori tangki diletakkan dan melepaskan tembakan.

“Terdapat sekurang-kurangnya 10 lori tangki terbakar. Seorang daripada kakitangan terminal maut akibat terkena tembakan,” katanya.

Seorang lagi pegawai kanan polis, Shah Nawaz, mengesahkan insiden yang berlaku di pinggir sebelah barat bandar berkenaan.

Laluan utama bekalan NATO merentasi sempadan Pakistan ke Afghanistan ditutup untuk hari ketujuh berturut-turut, selepas serangan helikopter NATO membunuh tiga askar Pakistan.

NATO menyatakan bahawa tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri.

Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen mendesak Pakistan membuka semula laluan penting itu secepat mungkin.

Sejak laluan berkenaan ditutup, anggota Taliban tempatan mengaku bertanggungjawab terhadap dua serangan yang menyebabkan hampir 60 trak dibakar, malah mereka bertekad melakukan lebih banyak serangan.

Dalam satu insiden sebelum ini, tiga terbunuh apabila kira-kira 20 lori tangki NATO dibakar dengan koktel Molotov dekat Islamabad.

Insiden serupa berlaku di selatan bandar itu Jumaat lalu apabila kumpulan lelaki bersenjata berat membakar lebih 20 trak dan lori tangki membawa bahan api untuk pasukan tentera asing yang menentang pemberontakan Taliban di Afghanistan.

Dua trak NATO turut dibakar oleh penyerang tidak dikenali di daerah Qalat, Baluchistan dua hari lalu.

Serang hendap ke atas konvoi NATO bukan perkara luar biasa, namun kerap berlaku di kubu kuat militan di barat laut Pakistan.

Taliban berkata, serangan dibuat sebagai balas dendam terhadap bedilan pesawat tanpa juruterbang Amerika Syarikat di sempadan negara ini bagi memburu militan al-Qaeda dan Taliban. – AFP

Sumber

1 comment:

Nur Misnan said...

salam
ini semua hanya perancangan jahat
untuk memusnahkan dan menyalahkan orang ISLAM