Tuesday, October 5, 2010

PAKISTAN: Taliban mengaku serang bekalan NATO

MIRANSHAH, Pakistan 4 Okt. - Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melakukan dua serangan ke atas konvoi bekalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di negara ini dan mengancam akan melakukan lebih banyak serangan.

Jurucakap Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), Azam Tariq berkata, mereka mengaku bertanggungjawab atas serangan terhadap konvoi pembekal NATO di Sindh dan Islamabad.

"Kami akan melakukan lebih banyak serangan dan tidak akan membenarkan mereka menggunakan negara ini sebagai laluan membawa bekalan untuk tentera NATO yang berpangkalan di Afghanistan.

"Ini juga adalah sebagai tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh NATO," kata Azam.

Menurut polis, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh apabila 20 trak yang membawa bekalan minyak untuk tentera NATO di Afghanistan diserang dan dibakar berhampiran ibu negara Pakistan, awal pagi tadi.

Serangan dilancarkan ketika pihak berkuasa Pakistan terus menutup jalan darat utama bagi mengangkut bekalan NATO buat hari kelima berturut-turut, selepas Islamabad menuduh helikopter perikatan itu membunuh tiga askar Pakistan di daerah Kurram, pada Khamis lalu.

Dalam kejadian sama Jumaat lalu di selatan Pakistan, sekumpulan lelaki bersenjata berat membakar berpuluh-puluh trak dan lori tangki yang membawa minyak untuk keperluan 152,000 tentera NATO yang memerangi pemberontak Taliban.

"Tiga orang terbunuh dan lapan lagi cedera. Kebanyakan yang cedera akibat terkena tembakan dan merupakan pemandu dan pembantu," kata pegawai polis kecemasan, Mohammad Ahad kepada AFP. - AFP

Sumber

No comments: