Thursday, October 14, 2010

PALESTIN: Desak jelaskan sempadan Zionis



TEMBOK pemisah kontroversi yang dibina oleh rejim Zionis yang memisahkan kem pelarian Shuafat Palestini di timur Baitulmaqdis. - AFP


RAMALLAH 13 Okt. - Palestin hari ini mahu pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan Israel menjelaskan sempadan rejim Zionis itu selepas Washington mengalu-alukan cadangan supaya rundingan damai dapat diteruskan.

"Kami secara rasminya mendesak pentadbiran AS dan kerajaan Israel menyediakan peta sempadan negara Israel yang mereka mahu kami mengiktirafnya," kata pegawai kanan Palestin, Yasser Abed Rabbo.

Ulasannya dibuat selepas Jabatan Negara AS meminta Palestin mengutarakan cadangan balas kepada kemahuan Israel yang mahu diiktiraf sebagai negara Yahudi sebagai balasan untuk melanjutkan pembekuan pembinaan penempatan haram.

Tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Palestin yang menegaskan pengiktirafan Israel sebagai 'negara Yahudi' tidak mempunyai kaitan dengan proses damai.

Malah mereka menuntut pentadbiran AS menetapkan sempadan 1967 sebagai titik mula rundingan mengenai sempadan sebenar.

"Kami mahu tahu sama ada negara ini (Israel) memasukkan tanah dan rumah kami di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.

"Jika peta dibuat berdasarkan sempadan 1967 dan membawa kepada tamatnya penjajahan Israel ke atas semua tanah Palestin... maka kami akan mengiktiraf Israel dengan apa jua nama yang akan dipakainya menurut undang-undang antarabangsa," kata Abed Rabbo lagi merujuk kepada tanah yang dijajah Zionis dalam Perang Enam Hari 1967.

Menurutnya, pihak Palestin masih menunggu maklum balas dari Tel Aviv dan Washington.

Palestin sebenarnya telah mengiktiraf Israel pada awal 1990-an namun enggan mengiktirafnya sebagai 'negara Yahudi' kerana bimbang ia akan menjejaskan nasib pelarian Palestin dari perang Arab-Israel 1948.

Mereka juga menekankan bahawa penduduk Arab merupakan 20 peratus daripada jumlah rakyat Israel. - AFP

Sumber

No comments: