Saturday, October 16, 2010

PALESTIN: Israel mahu bina 238 rumah



Polis sempadan Israel mengawal keselamatan Menteri Keselamatan Awam Israel, Yitzhak Aharonovitz (tengah) semasa beliau melawat kawasan perkampungan Silwan di Baitulmaqdis Timur pada 12 Oktober, 2010. – AP


BAITULMAQDIS 15 Okt. – Israel dilapor merancang untuk membina 238 unit rumah haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur, satu langkah yang dilihat bakal menyukarkan lagi usaha Amerika Syarikat (AS) untuk memulihkan proses damai.

Menurut laman web berita Ynet, rancangan pembinaan perumahan haram Yahudi di kawasan Pisgat Zeev dan Ramot itu telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, lewat malam tadi.

Pemerhati penempatan, Peace Now berkata, pengumuman terbaru itu boleh menjejaskan usaha menyelamatkan rundingan damai Israel-Palestin yang kini goyah akibat tindakan Israel itu.

“Menteri Perumahan atau Perdana Menteri nampaknya menyukarkan lagi keadaan. Mereka menjadikan usaha damai semakin rumit.

“Keputusan seumpama ini akan menjadi penghalang kepada usaha rundingan damai dan inilah yang mereka mahukan,” kata Hagit Ofran dari Peace Now kepada AFP.

Jelas beliau, ini adalah kali pertama rancangan pembinaan penempatan haram Yahudi diluluskan sejak Mac lalu, apabila Israel memberikan lampu hijau kepada pembinaan 1,600 buah rumah peneroka haram rejim Zionis itu di Baitulmaqdis Timur.

Ia dibuat semasa satu kunjungan oleh Naib Presiden AS, Joe Biden, yang mencetuskan krisis besar dalam hubungan Tel Aviv-Washington.

Sementara itu, Palestin hari ini mengecam rancangan terbaru Israel dengan mengatakan rejim itu cuba memusnahkan ‘setiap peluang untuk memulihkan rundingan damai’.

“Kami sekeras-kerasnya mengutuk keputusan ini. Kami meminta pentadbiran AS meletakkan tanggungjawab kegagalan rundingan dan proses damai ini ke atas Israel ekoran keputusan rejim itu yang merosakkan semua peluang untuk menyambung rundingan damai,” kata perunding Palestin, Saeb Erakat.

Rundingan damai antara Israel dan Palestin berada di ambang kehancuran selepas aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat disambung semula pada 26 September lalu, ekoran tempoh pembekuan pembinaan yang sudah berakhir.

Ynet melaporkan, walaupun tempoh pembekuan selama 10 bulan itu tidak meliputi kawasan Baitulmaqdis Timur, Netanyahu dilihat seolah-olah berdiam diri dan mengelak daripada menghentikan projek-projek pembinaan bagi menghindari sebarang kesan politik. – AFP

Sumber

No comments: