Monday, October 4, 2010

PALESTIN - Mercy Malaysia Akan ke Rafah

KOTA BHARU 3 Okt. - Mercy Malaysia sedang berusaha memasuki semula Rafah untuk meninjau perkembangan di wilayah itu bagi membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan disalurkan.

Presidennya, Datuk Dr. Ahmad Faizal Perdaus berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Mesir yang merupakan satu-satunya pintu masuk alternatif ke wilayah berkenaan.

Beliau berkata, empat lagi pintu masuk ke wilayah itu dikuasai Israel yang tidak membenarkan mana-mana pihak memasuki Rafah.

Katanya, sebelum ini, Mercy pernah menghantar misi keamanan melibatkan 20 orang bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk ubat-ubatan sumbangan pelbagai pihak di negara ini, berjumlah RM13 juta.

Bagaimanapun katanya, anggota misi terpaksa meninggalkan Rafah sejurus bantuan diberikan.

"Sekarang, semua program misi kemanusiaan di wilayah terbabit dikendalikan oleh rakyat Palestin," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Mercy Malaysia, di sini hari ini.

Sempena perjanjian itu, Mercy Malaysia akan bekerjasama dengan USM dalam program bantuan kemanusiaan melibatkan pembedahan bibir sumbing dan lelangit di Sri Lanka tidak lama lagi.

Hadir sama, Pengarah USM Kampus Kesihatan, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Prof. Dr. Abdul Aziz Baba.

SUMBER

No comments: