Wednesday, October 6, 2010

Pesawat AS serang PAKISTAN, 8 maut

PESHAWAR 5 Okt. - Sebuah pesawat penyerang tanpa juruterbang milik Amerika Syarikat (AS) menembak mati lapan militan termasuk lima rakyat Jerman di wilayah kabilah berhampiran sempadan Afghanistan, semalam.

"Lima rakyat Jerman berasal dari Turki dan tiga militan tempatan maut dalam serangan tersebut," kata seorang pegawai keselamatan, sambil menambah kata bahawa pihaknya sedang mendapatkan butiran lanjut tentang militan terlibat serta kumpulan mereka.

Kejadian tersebut turut disahkan dua pegawai keselamatan lain.

Serangan itu berlaku di bazar Mir Ali, kira-kira 20 kilometer dari timur Miranshah, sebuah bandar utama di daerah kabailah di Waziristan Utara, barat laut Pakistan.

Waziristan Utara merupakan lokasi persembunyian Taliban dan militan yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.

Serangan tersebut berlaku beberapa jam selepas Jepun dan Sweden mengeluarkan satu amaran tentang 'kemungkinan serangan pengganas' oleh al-Qaeda ke atas rakyat negara mereka yang ke Eropah.

Saluran Fox News memetik pegawai risikan yang enggan dikenali sebagai berkata, militan mempunyai senarai lokasi yang disasarkan di Perancis dan Jerman seperti menara Eiffel dan Notre Dame Cathedral, Brandenburg Gate di Berlin, stesen kereta api di pusat bandar serta menara Alexanderplatz TV.

Fox turut memetik seorang pegawai risikan veteran Barat sebagai berkata, maklumat tentang lokasi sasaran itu diperoleh dari seorang rakyat Jerman-Pakistan yang disoal siasat di Pangkalan Tentera Udara Bagram, Afghanistan.

Pegawai Pakistan sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya 21 serangan pesawat tanpa juruterbang AS pada bulan lalu mengorbankan kira-kira 120 orang, jumlah tertinggi serangan dalam masa sebulan.

Serangan misil, baru-baru ini sebahagian besarnya menjadikan militan yang mempunyai kaitan dengan rangkaian Haqqani yang berpangkalan di Waziristan Utara sebagai sasaran. - AFP

Sumber

No comments: