Wednesday, October 27, 2010

Tareq Aziz (IRAQ) Dihukum Mati

BAGHDAD 26 Okt. – Mahkamah jenayah tertinggi Iraq hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tareq Aziz kerana peranannya dalam menghapuskan parti-parti Syiah berhaluan agama semasa pemerintahan Saddam Hussein.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman mati ke atas dua lagi orang kanan Saddam iaitu bekas Menteri Dalam Negeri, Saadoun Shaker dan bekas setiausaha Saddam, Abid Hamoud.

Aziz merupakan jurucakap semasa rejim Saddam.

“Mahkamah jenayah tertinggi mengeluarkan perintah hukuman mati ke atas Tareq Aziz kerana peranannya dalam menghapuskan parti-parti Syiah berhaluan agama,” lapor televisyen kerajaan.

Mereka bertiga dijatuhi hukuman mati kerana peranan masing-masing dalam tindakan keras ke atas anggota masyarakat Syiah berikutan pemberontakan yang dilancarkan oleh komuniti itu terhadap Saddam pada 1991.

Pada 2009, Aziz dikenakan hukuman penjara 15 tahun kerana melaksanakan hukuman mati ke atas 42 pemborong di Baghdad dan dalam kes berasingan, hukuman penjara tujuh tahun kerana peranannya mengusir penduduk Kurdis dari utara Iraq. – AFP

sumber

No comments: