![]() |
| Penduduk memerhati keadaan di tempat kejadian selepas sebuah kawasan kediaman Syiah di daerah Ameen, tenggara Baghdad dibom semalam. - REUTERS |
BAGHDAD 3 Nov. - Serangan bom dan mortar bertubi-tubi di kawasan kediaman di beberapa bandar utama di Iraq meragut 76 nyawa dan mencederakan 285 yang lain semalam, sekali gus menunjukkan kemampuan pemberontak untuk melancarkan serangan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Serangan ke atas kawasan kediaman penduduk Syiah di ibu negara Iraq ini, turut berlaku berhampiran kafe-kafe dan restoran.
Ia berlaku hanya dua hari selepas anggota militan al-Qaeda menyerbu sebuah gereja di ibu negara dan menawan lebih 100 tebusan, dengan 46 daripada mereka maut apabila satu serbuan dilakukan pasukan tentera khas Iraq.
"Seramai 76 terbunuh dan 285 yang lain cedera dalam 11 letupan bom kereta. Semua letupan berlaku serentak," kata pegawai Kementerian Dalam Negeri.
Letupan terbesar berlaku di daerah Kadhimiyah, utara Baghdad dan Husseiniyah di timur ibu negara.
Saksi-saksi berkata, mereka ternampak kepulan asap dan cebisan kenderaan melayang di udara sebaik-baik letupan kuat kedengaran.
Kementerian Dalam Negeri segera mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan sasaran di timur Baghdad, selain larangan pergerakan pada waktu malam di seluruh ibu negara bermula tengah malam hingga pukul 5 pagi.
Washington dan London mengutuk pertumpahan darah terbaru itu dan cubaan memarakkan lagi konflik antara puak-puak di Iraq.
"AS mengutuk sekeras-kerasnya keganasan kejam yang disaksikan hari ini. Kami yakin rakyat Iraq tetap berpegang teguh kepada pendirian mereka untuk menolak cubaan pelampau yang mahu memarakkan lagi ketegangan puak.
"Serangan ini tidak akan menghentikan pembangunan Iraq. AS akan bersama-sama rakyat Iraq dan terus komited kepada hubungan perkongsian kuat yang telah lama terjalin," kata jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan, Mike Hammer. - AFP

0 comments:
Post a Comment