Monday, November 8, 2010

HAITI bimbang banjir terbaru sebarkan taun



Penduduk Haiti meredah sebatang jalan yang dinaiki air di kawasan kediaman di Cite Soleil akibat hujan lebat ekoran Taufan Tomas di Port-au-Prince, Haiti, kelmarin. - AP


PORT-AU-PRINCE 7 Nov. - Penduduk Haiti hari ini bertungkus-lumus membersihkan lumpur yang dibawa taufan Tomas, di sebalik kebimbangan banjir akibat ribut tersebut mungkin akan memburukkan lagi wabak taun yang melanda negara ini.

Kementerian Kesihatan Haiti melaporkan, angka korban akibat taun kini mencecah 501 berbanding 442 orang tiga hari lalu, sementara seramai 7,359 kini dimasukkan ke hospital setelah dijangkiti penyakit tersebut.

Sungai Artibonite, yang dipercayai punca utama wabak taun, melimpah semalam selepas hujan lebat dibawa taufan Tomas, apabila ia melanda seluruh negara kelmarin.

Pegawai yang bertugas dengan kumpulan bantuan Perancis, Acted, Marianna Franco berkata, limpahan Artibonite adalah satu berita menakutkan kerana sungai itu telah dijangkiti taun.

Bagaimanapun, situasi itu tidak menggentarkan penduduk Haiti, terutamanya mereka yang tinggal di khemah-khemah pelarian Port-au-Prince, yang menempatkan lebih 1.3 juta mangsa gempa bumi Januari lalu yang meragut 250,000 nyawa.

"Selepas ribut berakhir, situasi kembali lebih tenang. Hujan dan angin masih berlaku di mana-mana tetapi ia tidak seburuk yang dijangka," kata Franco.

Pegawai kesihatan dan kumpulan bantuan bimbang, banjir yang berlaku mungkin memburukkan lagi wabak taun di bahagian utara negara, selepas mangsa di kawasan itu dijangkiti melalui air sungai yang diminum.

"Tanah runtuh dan banjir besar boleh memburukkan lagi wabak taun, jadi semua pihak perlu berhati-hati," kata Presiden Rene Preval, kelmarin.

Di ibu negara, penduduk meredah air setinggi buku lali dan lumpur sambil mengangkut air dan bekalan-bekalan lain ke kem-kem yang sesak dihuni pelarian.

Bandar Leogane, selatan Haiti pula, tenggelam sepenuhnya akibat banjir dengan kebanyakan penduduk terpaksa meredah banjir di jalan-jalan raya. - AFP

Sumber

1 comments:

armouris said...

info tentang taun di SIHAT SELALU - Taun Jangkitan Vibrio Cholera