![]() |
| Beberapa orang penduduk yang diserang taun dirawat di hospital Charles Colimon di Petite Riviere. - AFP |
PORT-AU-PRINCE 25 Nov. - Haiti memerlukan lebih banyak jururawat dan doktor asing untuk membantu mengurangkan kematian akibat wabak taun yang kini sukar dikawal.
Kira-kira 1,000 jururawat terlatih dan sekurang-kurangnya 100 lagi doktor diperlukan segera bagi membendung wabak tersebut yang melanda negara miskin ini hampir setahun selepas digegarkan oleh satu gempa bumi kuat Januari lalu.
Wabak itu telah membunuh lebih 1,400 penduduk Haiti dalam tempoh lima minggu dan angka kematian meningkat berpuluh-puluh orang setiap hari.
Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal-Ehwal Kemanusiaan, Valerie Amos berkata, semua pihak ternyata perlu memperhebatkan usaha, tetapi ini bukan soal kewangan sahaja.
"Tidak kurang penting ialah tenaga manusia daripada segi mendapatkan khidmat lebih ramai doktor dan jururawat, serta mereka yang dapat membantu usaha meningkatkan kesedaran dan menyebarkan maklumat," katanya semasa lawatan ke sini untuk meningkatkan kempen membasmi taun.
Angka kematian sebenar mungkin mencecah 2,000 orang, kata pegawai PBB.
Beratus-ratus ribu penduduk Haiti dijangka dijangkiti penyakit itu dan wabak mungkin berlarutan selama setahun, sekali gus merumitkan lagi usaha pemulihan berikutan gempa bumi pada 12 Januari lalu.
Amos berkata, PBB akan menghubungi negara dan pertubuhan bantuan yang boleh menghantar kakitangan perubatan dengan segera, misalnya Cuba yang sudah pun menempatkan kira-kira 400 doktor dan kakitangan kesihatan lain di Haiti.
Walaupun menghadapi krisis kesihatan, Haiti akan meneruskan pilihan raya Presiden dan Parlimen mengikut jadual pada Ahad ini, sementara PBB dan pertubuhan bantuan bertungkus-lumus cuba mendapatkan lebih banyak dana dan bantuan antarabangsa bagi memerangi wabak itu.
Hospital dan pusat rawatan di seluruh negara ini penuh sesak dengan pesakit taun dan ramai pesakit dirawat di pekarangan bangunan dan di dalam khemah. - Reuters

0 comments:
Post a Comment