![]() |
| Susilo (tengah) bersalaman dengan kanak-kanak mangsa gunung merapi yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di kampung Purwobinangun di daerah Sleman, Jawa Tengah, semalam. - AFP |
JAKARTA 3 Nov. - Gunung Merapi di Yogyakarta, Jawa Tengah hari ini meletus lagi, kali ini selama lebih sejam dan merupakan tiga kali ganda lebih kuat daripada letusan pertama pada 26 Oktober lalu yang mengorbankan 36 orang.
Berikutan itu pihak berkuasa tempatan mengarahkan zon berbahaya diperluaskan kepada 15 kilometer (km) sekitar lereng gunung berapi, berbanding sebelum ini jarak 10km.
Pengarah Pusat Kajian Gunung Berapi Indonesia, Surono berkata, letusan tersebut bermula pada kira-kira pukul 3 petang ini dan berakhir lebih sejam selepas itu.
"Ini adalah pertama kali berlaku, berikutan itu penduduk yang berada di pusat pemindahan sekitar 10 km di lereng Gunung Merapi telah dipindahkan ke kawasan yang lebih jauh iaitu 15 km sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.
Menurut beliau, langkah itu diambil kerana dikhuatiri letusan yang begitu lama akan menyebabkan debu panas meluncur sehingga jarah 10 km.
"Letusan kali ini lebih besar atau tiga kali ganda daripada letusan 26 Oktober dan kami tidak pasti berapa banyak lagi letusan akan berlaku dan bila Merapi akan berhenti meletus," katanya.
Sementara itu Detikcom melaporkan gugusan awan panas bergerak dari puncak Gunung Merapi ke Kali Gendol menyebabkan penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan di Kepuharjo dan Glagaharjo panik.
Kepanikan itu berlaku susulan letusan berlaku pada pukul 3.15 petang waktu Indonesia barat, apabila gugusan awan panas yang menyembur dari puncak Gunung Merapi meluncur turun dan bercampur dengan debu gunung berapi disertai hujan lebat.
Akibat percampuran itu, terlihat gugusan awan gelap pekat membuatkan penduduk menjadi panik.
Anggota polis dan tentera yang bertugas kemudiannya memindahkan para penduduk ke kawasan Wukirsari terletak kira-kira 4 km dari kedua-dua kampung berkenaan.
Sejak tengah malam tadi hingga tengah hari ini sahaja dicatatkan Gunung Merapi meletus sebanyak 38 kali dan menyembur awan panas. - Utusan

0 comments:
Post a Comment