![]() |
| SEORANG wanita mengumpul rumput untuk makanan kerbaunya di Klaten, Jawa tengah dengan Gunung Merapi kelihatan masih menghamburkan debu dan asap panas ke udara, semalam. - AFP |
GUNUNG MERAPI 2 Nov. - Gunung Merapi memaksa syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa, AirAsia dan SilkAir membatalkan penerbangan ke lapangan-lapangan terbang berdekatan hari ini, sementara lahar terus menerangi kawah gunung berapi itu dan kepulan asap hitam memenuhi udara.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia, Bambang Ervan berkata, amaran rasmi dikeluarkan kepada semua syarikat penerbangan supaya mengelakkan laluan tertentu di Jawa Tengah dan 'menggunakan laluan alternatif atas sebab keselamatan disebabkan abu gunung berapi'.
Saintis memberi amaran, letusan mungkin berterusan selama berminggu-minggu lagi, umpama 'larian maraton dan bukan seperti larian pecut'.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam letusan-letusan terbaru Gunung Merapi yang berlaku ketika Indonesia turut berhempas-pulas untuk menangani bencana tsunami yang melanda sebuah kepulauan terpencil.
Dua bencana tersebut yang berlaku di bahagian berasingan negara ini telah meragut hampir 470 nyawa dan meningkatkan tekanan ke atas rangkaian perkhidmatan kecemasan kerajaan.
Merapi, antara 22 gunung berapi aktif yang kini dipantau rapi, telah menyebabkan 38 orang maut sejak mula meletus seminggu lalu, sehingga memaksa dua lapangan terbang berdekatan ditutup sementara.
Pegawai di Yogyakarta, pintu masuk ke kuil-kuil Borobudur yang dikunjungi oleh sejuta pelancong setiap tahun dan di bandar Solo yang berhampiran, melaporkan tahap penglihatan yang terjejas teruk dan abu tebal yang meliputi landasan.
Kedua-dua lapangan terbang masih beroperasi hari ini, tetapi syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, AirAsia dan SilkAir dari Singapura mengumumkan penggantungan sementara beberapa penerbangan antarabangsa disebabkan Gunung Merapi yang terletak hanya 30 kilometer dari lapangan terbang.
Lebih 10 letusan kuat disaksikan dari Gunung Merapi sejak letupan kuat pertama pada 26 Oktober, termasuk letusan semalam yang dipercayai meredakan sedikit tekanan di dalam kawah dengan membuka saluran untuk membolehkan magma keluar, manakala tiga letusan kecil menyusul hari ini.
"Tidak ada cara untuk memastikannya, tetapi berdasarkan apa yang kita saksikan sejak beberapa hari lalu, kita berharap tidak akan berlaku satu letupan yang sangat kuat. Nampaknya kita bakal menghadapi satu larian maraton, bukan larian pecut,' kata pakar gunung berapi, Safari Dwiyono yang memantau gunung itu selama lebih 15 tahun.
Hampir 70,000 penduduk kampung yang dipindahkan dari kawasan sekitar lereng Gunung Merapi diberitahu mereka dijangka tinggal di kem-kem penempatan kerajaan untuk sekurang-kurangnya tiga minggu lagi. - AP

0 comments:
Post a Comment