![]() |
| WANITA ini dalam keadaan panik meninggalkan rumahnya sejurus Gunung Merapi meletus lagi di Cangkringan, Yogyakarta, Indonesia, semalam. – AP |
YOGYAKARTA 1 Nov. – Gunung Merapi di Indonesia terus menghamburkan awan panas dan debu awal pagi ini, ketika negara ini bergelut menangani lebih 65,000 penduduk yang dipindahkan akibat bencana gunung berapi dan tsunami.
Seramai 38 orang telah terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera sejak ia meletup Selasa lalu, menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan.
Pasukan penyelamat di daerah Boyolali, kira-kira 10 kilometer dari kawasan gunung berapi, menggunakan kenderaan, trak dan ambulans berpindah dari kawasan itu, meskipun terdapat beberapa penduduk yang kembali ke kampung mereka untuk memberi makan kepada haiwan ternakan atau melihat tanaman.
Media tempatan menyifatkan letupan hari ini yang berlaku pukul 10.10 pagi (11.10 pagi waktu Malaysia) sebagai yang terbesar sejak Gunung Merapi meletus minggu lalu, selepas empat tahun tidak aktif.
Gunung berapi ini mengeluarkan awan panas sejauh 4 kilometer menuruni cerun di bahagian selatan gunung dan debu menyelimuti perkampungan di Klaten dan daerah Boyolali di bahagian timur cerun Merapi, menurut Ketua Agensi Geologi Yogyakarta, Sukhyar.
Kerajaan mengarahkan pemindahan penduduk di daerah yang berada di lingkungan 10 kilometer dari kawah gunung berapi.
Sementara itu, pakar gunung berapi memberi amaran bahawa gunung berapi Anak Krakatau di negara ini memasuki satu tahap aktiviti baru, mengeluarkan asap kelabu dari laharnya sejak beberapa hari lalu.
“Kami meminta supaya nelayan dan pelancong tidak mendekati Anak Krakatau kerana ia sangat berbahaya,” kata Jumono, saintis di pusat pemantauan berdekatan.
Menurutnya, zon bahaya berada pada lingkungan dua kilometer dari lahar gunung berapi itu.
Pusat Pencegahan Bencana Geologi dan Gunung Berapi minggu lalu meningkatkan tahap berjaga-jaga ke atas Gunung Anak Krakatao yang terletak di Selat Sunda, antara Pulau Jawa dan Sumatera, dari tahap normal ke tahap dua. – dpa

0 comments:
Post a Comment