PADANG 1 Nov. – Pegawai Indonesia hari ini menafikan laporan bahawa bekalan bantuan tersadai di pelabuhan sementara mangsa tsunami yang kebuluran terpaksa mencari ubi hutan, seminggu selepas bencana yang meragut kira-kira 450 nyawa itu.
Mangsa yang terselamat daripada ombak tsunami setinggi tiga meter yang melanda pulau-pulau Mentawai dekat barat Sumatera pada Isnin lepas merungut mengenai bantuan yang terlalu lambat sampai ke tangan mereka manakala pekerja bantuan melaporkan kurangnya penyelarasan dalam menyalurkan bantuan.
Pegawai mengakui hanya sebahagian kecil daripada bekalan bantuan seperti makanan, air, khemah, ubat-ubatan dan selimut di pelabuhan berhampiran telah diagihkan kepada mangsa.
Mereka memberi alasan kelewatan itu disebabkan cuaca buruk, serta kekurangan bot dan helikopter.
Bertan-tan bekalan bantuan bertimbun di pelabuhan Padang di Sumatera, yang terletak setengah hari perjalanan laut dari pulau-pulau yang paling teruk dilanda bencana itu dan di pekan-pekan yang tidak terjejas di pulau Sikakap dan pulau Tua Pejat di Mentawi.
“Kami faham berlaku cuaca buruk yang menimbulkan cabaran besar tetapi keadaan ini sepatutnya sudah diramalkan awal-awal lagi.
“Nampaknya kerajaan tempatan terlalu memandang ringan perkara ini. Kelewatan berpunca daripada persiapan yang kurang rapi,” kata Khalid Saifullah, penyelaras bagi agensi bantuan tempatan bebas.
Akhbar Jakarta Globe melaporkan, bantuan makanan seperti beras dan mi segera rosak akibat terkena air laut manakala insiden pekerja bantuan tempatan mencuri bekalan turut disaksikan di Tue Pejat.
Para pegawai bantuan juga didapati keliru mengenai siapa yang sebenarnya mengetuai operasi bantuan.
Pegawai pengurusan bencana, Joskamatir menyangkal laporan mengenai kecurian, penyelarasan kurang baik dan bantuan makanan menjadi rosak.
“Kelewatan disebabkan cuaca buruk, tetapi sekarang kami sudah dapat masuk ke kawasan bencana dan bantuan sedang dihantar meskipun pada kadar terhad,” katanya. – AFP
0 comments:
Post a Comment