![]() |
| GUNUNG Merapi menghamburkan asap dan gas panas ke udara sekurang-kurangnya tiga kali semalam, mengakibatkan suasana cemas dan panik di kalangan penduduk setempat. - AFP |
UMBULHARJO, Indonesia 31 Okt. - Gunung berapi paling aktif di negara ini yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang minggu lalu menghamburkan lebih banyak debu panas hari ini, sekali gus mencetuskan keadaan panik terbaru.
Seorang pegawai di pusat penyelidikan gunung berapi di Yogyakarta, tengah Jawa, Azis berkata, kira-kira pukul 3 petang (2 petang waktu Malaysia), 'debu panas yang membentuk awan dihamburkan dari Gunung Merapi.
Seorang lagi pegawai yang ditempatkan di pusat sementara yang terletak tujuh kilometer dari kawasan Gunung Merapi, Triyono memberitahu, gunung berapi itu menghamburkan debu panas sebanyak tiga kali.
"Awan panas yang terbentuk mengalir sejauh 3.5 kilometer ke bawah cerun gunung berapi," katanya.
Berpuluh-puluh penduduk yang ketakutan melarikan diri di kampung Umbulharjo, 12 kilometer dari kawasan yang gunung berapi menggunakan motosikal dan kenderaan, menurut koresponden AFP.
Sementara itu, petugas penyelamat Indonesia memeriksa kawasan perkampungan di cerun Gunung Merapi bagi memaksa penduduk yang masih berdegil meninggalkan kawasan tersebut, ketika angka kematian akibat letusan gunung itu meningkat kepada 38 orang, lapor pegawai hari ini.
Pasukan penyelamat terdiri daripada tentera, polis dan sukarelawan dilapor berusaha mencari lebih ramai penduduk di empat buah kampung di cerun bahagian selatan gunung tersebut, iaitu lokasi paling bahaya.
Agensi berita Antara memetik seorang ketua kampung, Bejo sebagai berkata, penduduk di empat kampung tersebut akan dipindahkan segera ke lokasi yang lebih selamat.
"Jika ada lagi penduduk yang masih tinggal di rumah, kami akan meminta mereka menaiki kenderaan yang disediakan untuk perpindahan. Sekiranya mereka berdegil, kami akan memaksa," katanya.
Beberapa penduduk kampung dilapor enggan berpindah kerana bimbang akan keselamatan harta benda mereka.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan menyatakan, jumlah angka korban akibat letusan Gunung Merapi, meningkat kepada 38 orang, sementara lebih 50,000 yang lain kini masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara di 65 lokasi.
Gunung berapi tersebut meletus Selasa lalu buat kali pertama sejak empat tahun lepas, disusuli beberapa letusan dan hamburan lahar serta debu awal pagi semalam.
Debu gunung berapi menyelubungi sebahagian besar bandar raya Yogyakarta di Jawa Tengah, memaksa penutupan lapangan terbang yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Gunung Merapi.
Gunung Merapi dengan ketinggian 2,968 meter, terletak kira-kira 500 kilometer di tenggara Jakarta.
Letusan paling kuat gunung itu berlaku pada tahun 1930 apabila ia mengakibatkan 1,370 terbunuh, sementara hanya dua maut dalam letusan pada 2006. - AFP/Agensi

0 comments:
Post a Comment