JAKARTA 2 Nov. - Indonesia hari ini menggunakan pesawat dan kapal-kapal tentera laut bagi mengagihkan bekalan bantuan kepada mangsa-mangsa tsunami yang melanda kepulauan Mentawai, minggu lalu.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Nelis Zuliasri berkata, cuaca baik dan hubungan komunikasi membenarkan pekerja mengagihkan bantuan ke kawasan-kawasan terpencil selepas ribut dan ombak besar menyukarkan mereka berbuat demikian sebelum ini.
"Bekalan bantuan kini telah tiba kepada penduduk-penduduk yang hilang tempat tinggal.
"Bagaimanapun, keadaan cuaca masih tidak menentu. Jadi kami perlu menjalankan kerja-kerja pengagihan bantuan dengan cepat hari ini," katanya.
Menurutnya, sebanyak enam helikopter, sebuah pesawat pengangkut tentera Hercules C-130, lima kapal perang dan beberapa kapal kecil lain digunakan untuk mengagihkan bantuan.
Beliau berkata, agensinya juga telah memperuntukkan sejumlah 1 bilion rupiah (RM358,400) sepanjang fasa kecemasan selama dua minggu.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Rantau di wilayah Sumatera Barat dalam laporan terkininya, angka korban tsunami 25 Oktober lalu yang dicetuskan gempa bumi 7.7 pada skala Richter, diletak pada 427 selepas beberapa mangsa yang dikatakan maut, ditemui hidup.
Agensi itu menyatakan, seramai 75 mangsa disenaraikan sebagai hilang, sementara 500 yang lain cedera.
Sebuah kumpulan bantuan tempatan, Yayasan Tanngul Bencana yang bertugas di Mentawais berkata, mangsa-mangsa yang selamat sangat memerlukan makanan, khemah, selimut dan ubat.
"Penduduk turut memerlukan sesi kaunseling psikologi bagi membantu mereka berhadapan dengan kehilangan orang yang mereka sayangi," kata jurucakap kumpulan itu, Life Seli. - dpa
0 comments:
Post a Comment