PORT-AU-PRINCE 15 Nov. - Angka korban akibat wabak taun di Haiti meningkat kepada lebih 900 termasuk kematian di ibu negara ini yang sesak, ketika penularan penyakit berjangkit itu tidak menunjukkan tanda-tanda reda, kira-kira dua minggu menjelang pilihan raya Presiden.
Pegawai Kementerian Kesihatan melaporkan lebih 120 kematian baru sejak angka korban terakhir dikeluarkan sebelum ini, manakala pihak berkuasa dan agensi bantuan antarabangsa berusaha mengawal krisis terbaru yang melanda negara Caribbean miskin ini.
Hampir sebulan selepas wabak taun dilapor berlaku, angka korban rasmi meningkat kepada 917 semalam, meningkat 121 berbanding 796 Jumaat lalu.
Pertambahan jumlah kematian itu agak mendatar dan bukan mendadak, tetapi ia membayangkan kesukaran untuk mengawal penularan wabak berkenaan di sebuah negara yang terdesak mendapatkan kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Ketika kebimbangan cabaran kesihatan berikutan bencana gempa bumi yang berlaku hampir setahun lalu semakin meningkat, Haiti turut berhadapan kesukaran menjelang pilihan raya dua minggu lagi di tengah-tengah siri bencana yang berlaku.
Menurut Kementerian Kesihatan, enam daripada 10 wilayah di Haiti dilanda wabak taun dengan seramai 14,642 pesakit kini dirawat di hospital, pertambahan lebih 2,300 berbanding Jumaat lalu.
Sekurang-kurangnya 27 kematian dicatat di ibu negara termasuk di kawasan setinggan terbesar Cite Soleil dan pekan-pekan.
Kebanyakan pesakit yang dirawat telah dibenarkan pulang, namun satu gelombang baru jangkitan mula menyesakkan hospital serta klinik-klinik yang kekurangan kakitangan di seluruh negara.
Pegawai bimbang, skala wabak taun boleh naik mendadak sekiranya penyakit tersebut menjangkiti penduduk yang berada di kem-kem di Port-au-Prince, yang menempatkan beratus-ratus ribu mangsa gempa bumi yang tinggal dalam keadaan sesak dan kotor. - AFP
0 comments:
Post a Comment