Monday, November 29, 2010

PAKISTAN: Pesawat kargo terhempas



pasukan bomba Pakistan bertungkus lumus memadamkan kebakaran setelah sebuah pesawat kargo buatan Rusia terhempas dekat Lapangan Terbang Karachi sebaik-baik ia berlepas, semalam. - AFP


KARACHI 28 Nov. - Sebuah pesawat kargo membawa lapan orang terhempas di kawasan perumahan di Karachi hari ini, bagaimanapun angka korban belum dapat dipastikan.

Ketua polis Karachi Fayyaz Leghari berkata, lapan orang dipercayai terbunuh, sementara perkhidmatan ambulans memberitahu tiada mangsa yang terselamat.

Televisyen Express 24/7 pula melaporkan seramai 10 orang terbunuh.

Menurut jurucakap pihak berkuasa Penerbangan Awam, Pervez George, pesawat itu terhempas selepas baru seminit berlepas dari lapangan terbang Karachi.

George berkata, pesawat kargo milik Rusia itu dalam penerbangan ke ibu negara Sudan, Khartoum dan kesemua anak kapalnya adalah warga negara Rusia.

Pesawat itu melanggar sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di kompleks perumahan tentera laut dan menyebabkan beberapa bangunan berhampiran yang tidak dihuni terbakar.

Pasukan penyelamat bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran itu.

"Pada mulanya kami menyangka ia satu kebakaran, tetapi sebaik-baik sahaja tiba di tempat kejadian, baru kami menyedari ia adalah nahas pesawat," kata seorang penduduk tempatan, Nisar Ali. - REUTERS

Sumber

0 comments: