BAITULMAQDIS 10 Nov. - Rancangan Israel untuk membina penempatan baru di wilayah yang mereka jajah di timur Baitulmaqdis perlu dibalas dengan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara oleh masyarakat antarabangsa, kata ketua perunding Palestin, Saeb Erekat.
Dengan merujuk kebuntuan rundingan damai tajaan Amerika Syarikat (AS), Saeb Erekat berkata, Israel jelas mahukan penempatan, bukan keamanan dengan mengumumkan pembinaan penempatan baru di wilayah itu.
"Pengumuman satu pihak oleh Israel itu menunjukkan perlunya pengiktirafan segera Palestin sebagai sebuah negara oleh masyarakat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ekoran itu, AS tangkas mengulangi tentangannya ke atas sebarang tindakan pengisytiharan sebelah pihak untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
"Kedua-dua pihak perlu mengelak daripada mengambil tindakan pengisytiharan sebelah pihak yang akan meracuni dan menghalang proses rundingan," kata jurucakap Jabatan Negara AS, P.J. Crowley.
Dunia memberi sedikit tumpuan ketika bekas Presiden Yasser Arafat mengisytiharkan Palestin sebagai sebuah negara pada 1988, tetapi gelombang politik dengan pantas berubah dan Israel kini sangat bimbang Presiden Mahmoud Abbas akan memperolehi pengiktirafan itu.
Abbas telah menyuarakan untuk membawa idea itu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pilihan jika rundingan damai gagal, tetapi hanya selepas memperolehi sokongan daripada Washington.
Israel kelmarin mengumumkan rancangannya untuk membina 1,300 rumah baru lagi di wilayah Palestin di timur Baitulmaqdis.
Sementara itu, laporan berita semalam menyebut sejumlah 800 unit lagi dirancang dibina di kawasan penempatan besar di Ariel, utara Tebing Barat. - Reuters
0 comments:
Post a Comment