KAHERAH 24 Nov. - Seorang terbunuh apabila lebih 200 penganut Kristian Qibti melontar batu ke arah polis, merosakkan kereta dan memecahkan tingkap sebagai membantah keengganan pihak berkuasa Mesir membenarkan mereka menyiapkan pembinaan gereja baru, hari ini.
Sumber keselamatan berkata, mangsa yang maut adalah seorang daripada penunjuk perasaan, namun tidak menyatakan bagaimana kejadian berlaku.
Katanya, seramai 25 orang cedera dan 85 daripada mereka ditahan dalam pertempuran di bandar Giza, berdekatan dengan piramid selepas pihak berkuasa menghalang pembinaan gereja yang dilakukan tanpa permit.
Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi.
Penganut Kristian Qibti merupakan 10 peratus daripada 79 juta penduduk Mesir dan permit gereja kerap menjadi punca ketegangan kerana mereka mendakwa tidak diberi kebebasan untuk membina tempat ibadat.
Akhbar Mesir menyatakan pihak berkuasa menghalang kerja pembinaan kerana gereja itu tidak mempunyai permit tetapi penganut Koptik menyatakan kebenaran telah diberikan dan kerja disambung semula tanpa sebarang peralatan mesin yang dihalang daripada memasuki tapak itu. - REUTERS
0 comments:
Post a Comment