Thursday, November 4, 2010

THAILAND: Tentera dikerah selamatkan penduduk

BANGKOK 3 Nov. - Thailand mengerahkan beribu-ribu askar dan satu-satunya kapal pembawa pesawat pengangkutnya untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap akibat banjir teruk di bandar Haadyai, dalam banjir terbaru yang melanda negara ini, selepas 107 orang maut dalam bencana itu di bahagian timur laut pada bulan lepas.

Pusat perdagangan di selatan Thai itu bertukar wajah menjadi seperti terusan air dengan jalan-jalan tidak lagi dapat dilalui dengan kereta, manakala perkhidmatan kereta api ke bandar itu dibatalkan.

Paras air banjir mencecah bumbung di beberapa kawasan di Haadyai semalam tetapi didapati surut ke paras satu meter hari ini, kata Vijit Thammasaro dari pejabat pencegahan bencana di wilayah Songkhla.

Ribut tropika membawa hujan berterusan ke kawasan terbabit pada Ahad dan kelmarin, menyebabkan banjir yang memaksa lapangan terbang di Pulau Samui ditutup buat hari kedua berturut-turut.

Jabatan meteorologi Thailand melaporkan, ribut itu bergerak ke arah barat meninggalkan negara ini tetapi ombak setinggi empat meter mungkin melanda kawasan tepi pantai dan penduduk di kawasan rendah menghadapi ancaman tanah runtuh dan banjir kilat.

"Saya yakin keadaan mula beransur-ansur pulih," kata Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva hari ini, sehari selepas menyifatkan banjir itu sebagai 'bencana alam terburuk' yang pernah melanda negara ini.

Satu-satunya kapal pembawa pesawat pengangkut Thailand, yang jarang meninggalkan pangkalannya, dikerahkan untuk menyertai operasi bantuan dan dijadual tiba di perairan dekat Haadyai tengah hari ini. - AP

Sumber

0 comments: