Monday, December 20, 2010

37 terbunuh bot karam di BANGLADESH

DHAKA 19 Dis. - Anggota penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa yang masih terselamat selepas sebuah bot yang membawa 150 penumpang karam di sebuah sungai di utara negara ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 37 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, hari ini.

Ketua polis tempatan, Jane Alam berkata, kebanyakan penumpang sedang tidur ketika bot itu merempuh sebuah kapal kargo dan karam pada malam semalam di tengah sungai Sarma di Alipur, 240 kilometer dari utara Dhaka.

Polis menemui lima lagi mayat di dalam bot yang dibawa naik awal pada pagi ini, selepas operasi mencari dijalankan semula, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut kepada 37 orang, kata Alam kepada AFP.

"Daripada 37 yang maut, 17 adalah wanita dan 20 ialah kanak-kanak. Kebanyakan lelaki dewasa berenang ke tebing sungai dan pulang ke kampung masing-masing," kata Alam.

Polis berkata, pegawai polis dan pegawai kerajaan tempatan telah melancarkan operasi mencari lebih ramai mangsa hari ini ketika beratus-ratus orang berkumpul di tebing sungai bagi menantikan berita selanjutnya mengenai ahli keluarga masing-masing.

"Kami mencari sehingga berbatu-batu ke hilir sungai kerana sesetengah mayat mungkin dihanyutkan arus. Skuad penyelam kementerian perkapalan dibawa dari ibu negara ini dan menjalankan operasi mencari di seluruh kawasan sungai," katanya.

Polis berkata, pemeriksaan terhadap ahli keluarga mangsa mendapati hanya sebilangan kecil mangsa yang masih hilang.

Bot nelayan telah menyelamatkan ramai mangsa terselamat dari air sungai yang sejuk itu, manakala bot penumpang dan kapal kargo itu telah ditunda ke tebing sungai.

Pentadbir kerajaan tempatan, Mohammad Abul Hashem berkata, siasatan awal mendapati kesesakan penumpang dan darjah penglihatan yang kurang baik di sungai tersebut merupakan punca kemalangan itu berlaku.

"Nampaknya bot itu sesak dengan penumpang. Orang ramai penuh sesak di bahagian deknya," katanya. - AFP

Sumber

0 comments: