![]() |
| KAWASAN pembinaan penempatan haram Har Homa yang dirakam dari udara kelmarin, adalah antara tapak yang menjadi pertikaian dalam proses damai Asia Barat. - REUTERS |
KAHERAH 9 Dis. - Pihak Palestin berharap Amerika Syarikat (AS) akan mengiktiraf sebuah negara Palestin yang merdeka sebagai respons terhadap keengganan Israel untuk membekukan pembinaan penempatan haram Yahudi.
Ketua perunding Palestin, Saeb Erakat hari ini melahirkan harapan agar pentadbiran AS mengiktiraf negara Palestin mengikut sempadan 1967 sebagai respons terhadap ketetapan yang dibuat sendiri oleh Israel berhubung kawasan penempatan haram serta langkah unilateral lain.
"Keputusan perlu diambil dan jika AS mahu mempertahankan penyelesaian 'dua negara', Washington perlu mengiktiraf negara Palestin mengikut garis sempadan 1967," kata Erakat kepada wartawan di sini semalam.
Beliau merujuk kepada Perang Enam Hari 1967 apabila Israel menawan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis timur dan Genting Gaza.
"Tindakan Israel menggagalkan usaha-usaha AS meletakkan rantau ini di persimpangan jalan," ujar Erakat.
Beliau berkata demikian selepas rundingan antara Presiden Palestin, Mahmud Abbas dengan ketua Liga Arab, Amr Mussa, sehari selepas AS mengakui gagal dalam usahanya untuk memujuk Israel supaya membekukan aktiviti pembinaan perumahan haram Yahudi.
Washington kelmarin mengaku telah menggugurkan tuntutannya supaya Israel memperbaharui tempoh pembekuan ke atas pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, iaitu syarat Palestin untuk menyambung semula rundingan damai langsung.
Abbas dalam reaksinya terhadap pengakuan AS itu menyifatkan proses damai kini dalam krisis.
Erakat berkata, Presiden Palestin itu dijadual mengadakan rundingan berasingan dengan Duta AS ke Asia Barat, George Mitchell dan para pemimpin Arab.
"Presiden akan meminta pandangan para pemimpin Arab yang lain sebelum memberi jawapan kepada cadangan-cadangan Amerika," katanya pada sidang media bersama-sama Mussa. - AFP

0 comments:
Post a Comment