Sunday, December 12, 2010

Barak setuju kongsi Baitulmaqdis?

WASHINGTON 11 Dis. - Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak mencetuskan semula prospek perkongsian Baitulmaqdis dengan penduduk Palestin sebagai sebahagian daripada perjanjian damai, sesuatu yang berbeza dengan pandangan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

"Baitulmaqdis akan dibincangkan di mana bahagian barat Baitulmaqdis dan kawasan Yahudi untuk Israel dan kawasan kejiranan Arab yang diduduki pelarian untuk Palestin," kata Barak dalam satu ucapan di Washington.

Barak, bekas Perdana Menteri Israel dari Parti Buruh, membuat kenyataan itu dalam ucapan beliau kepada hadirin termasuk Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton.

Sebelum itu, Hillary menggesa Israel dan Palestin berkompromi dengan isu-isu penting dalam proses damai, termasuk isu Baitulmaqdis yang disifatkannya 'paling sensitif'.

Ketika Barak membuat kenyataan sama tentang Baitulmaqdis kepada akhbar Israel, Haaretz pada September lalu, beliau dikritik oleh pembantu-pembantu Netanyahu yang menganggap Baitulmaqdis adalah mutlak sebagai ibu negara Israel.

Barak turut berkata, tidak ada percanggahan antara penyelesaian Israel dan Palestin dan keselamatan Israel.

"Sebaliknya, dua negara untuk dua rakyat adalah syarat penting untuk membolehkan Israel terus mencapai cita-cita Zionis," kata beliau. - AFP

Sumber