Wednesday, December 1, 2010

MESIR: Ikhwanul Muslimin merayu

KAHERAH 30 Nov. - Pertubuhan Ikhwanul Muslimin telah memfailkan rayuan berhubung dakwaan penipuan serta pembelian undi yang berlaku pada pilihan raya Parlimen di negara ini pada Ahad lalu.

Pemimpinnya, Saad al-Katatni yang mengetuai 88 kerusi blok Parlimen berkata, tindakan itu diambil selepas parti tersebut tidak puas hati dengan kekalahan di beberapa kawasan pilihan raya yang sebelum ini dikuasainya.

"Penipuan berlaku dan kami telah memfailkan rayuan berkenaan prosedur undian," kata al-Katatni merujuk kepada kehilangan kerusi di Minya, selatan Kaherah, yang dimenanginya pada 2005 dengan menerima 35,000 undi berbanding pesaingnya yang hanya mengutip 12,000 undi.

Tambah beliau, tiada seorang pun calon Ikhwanul Muslimin menang pada undian pusingan pertama yang mempertaruhkan 508 kerusi, sementara hanya beberapa calon layak ke pusingan kedua undian pada Ahad ini.

Pertubuhan itu turut mendakwa, pilihan raya tersebut hanya mengurangkan kehadirannya di Parlimen dan hampir menyingkirkan keseluruhan pembangkang berbanding parti pemerintah pimpinan Presiden Hosni Mubarak menjelang pemilihan Presiden pada tahun depan.

Keputusan rasminya hanya akan diketahui hari ini.

Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan, sebelum ini menguasai satu per lima kerusi di Dewan Rendah. - Reuters

Pergerakan tersebut yang bertanding atas tiket bebas merupakan pesaing utama kepada Parti Demokratik Kebangsaan pimpinan Mubarak (NDP) yang menang besar dalam pilihan raya sejak berdekad-dekad lalu.

Di Delta Nil yang terletak di bawah pemerintahan Gharbia, penyokong kepada calon yang tewas semalam melempar objek berapi ke arah ibu pejabat NDP dan bertempur dengan polis, menyebabkan empat anggota keselamatan cedera, lapor agensi berita negara.

Selain pertempuran itu, bantahan di Kaherah dan Iskandariah semalam, menutup hari pengundian dengan ramai pemantau bebas dilarang memasuki pusat pengundian. - Reuters

Sumber

0 comments: