Sunday, December 26, 2010

PAKISTAN: 43 maut serangan bom



SEORANG daripada mangsa yang cedera dalam serangan bom berani mati meraung semasa diangkat ke atas tandu semasa tiba di Hospital Peshawar, Pakistan, semalam. – AFP


KHAR, Pakistan 25 Dis. – Seorang pengebom berani mati yang berpakaian burqa menyerang sekumpulan penduduk yang menunggu bantuan makanan di barat laut Pakistan hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 43 orang.

Serangan di wilayah Bajaur bersempadan dengan Afghanistan itu berlaku sehari selepas pertempuran antara pemberontak Taliban Pakistan dengan tentera keselamatan di wilayah jiran Mohmand yang mengakibatkan 11 tentera dan 24 militan terbunuh.

Letupan berlaku di pusat pengagihan catuan Program Makanan Sedunia (WFP) di Khar, bandar utama daerah Bajaur.

“Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh dan lebih 60 lagi cedera dalam letupan berani mati itu,” kata pegawai pentadbir puak, Sohail Khan.

Ketua hospital kerajaan, Doktor Mohammad Hafeez mengesahkan angka kematian itu dan memberitahu kanak-kanak dan wanita adalah antara mangsa yang terbunuh.

Pegawai tinggi kerajaan di Bajaur, Zakir Hussain berkata, angka kematian mungkin meningkat ekoran beberapa mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Jantina pengebom yang memakai pakaian burqa itu tidak dapat dipastikan. Dia meletupkan dirinya ketika beratus-ratus orang puak Salarzai menuju ke pusat pengagihan makanan WFP.

Jurucakap WFP berkata, serangan berlaku di tempat pemeriksaan keselamatan berhampiran pusat pengagihan itu.

Menurut saksi, penyerang itu pada awalnya membaling bom tangan ke arah kumpulan penduduk itu sebelum meletupkan bom.

Bajaur pernah menjadi kawasan kubu kuat Taliban yang melancarkan beberapa pengeboman dan serangan berani mati.

Tentera Pakistan yang melancarkan operasi memerangi Taliban pertama di daerah ini pada Ogos 2008 berulang kali mendakwa berjaya menghapuskan ancaman pemberontak itu. – AFP/Reuters

Sumber

0 comments: