Saturday, December 11, 2010

Veteran PALESTIN kecam AMERIKA

RAMALLAH 10 Dis. - Veteran proses damai Palestin, Hanan Ashrawi menganggap rundingan damai Asia Barat akan menjadi 'kerja sia- sia' kecuali Amerika Syarikat (AS) 'menyekat pencabulan yang dilakukan oleh Israel'.

Ashrawi menyalahkan pendekatan AS kerana memberi kesempatan kepada Israel untuk meluaskan kawasan penempatan haram Yahudi dan mengukuhkan cengkamannya ke atas wilayah yang mahu dijadikan sebagai negara Palestin yang merdeka oleh penduduk Palestin.

"Saya sudah bosan. Pendekatan itu perlu dihentikan.

"Kamu tidak boleh memperbodohkan kami dengan berpura-pura mahukan proses damai dan penyelesaian 'dua negara' dan kemudian membiarkannya dimusnahkan di hadapan kami," kata Ashrawi, seorang anggota delegasi Palestin yang berunding dengan Israel selama dua tahun dari 1991.

Proses damai Israel-Palestin dilanda krisis pada minggu ini apabila AS mengaku telah membatalkan usahanya untuk memujuk Israel supaya membekukan kegiatan pembinaan penempatan haram Yahudi di kawasan yang sepatutnya menjadi sebahagian negara Palestin.

Palestin menuntut pembekuan pembinaan penempatan itu, sebelum bersedia untuk mengadakan rundingan lanjut, manakala Israel menyalahkan Palestin dengan memberi alasan, pembekuan kegiatan pembinaan penempatan haram yahudi tidak pernah menjadi syarat untuk berunding.

"Sekali lagi Amerika Syarikat mengalah apabila berhadapan dengan keangkuhan dan kedegilan Israel.

"Israel mahu pendudukan diteruskan dan pihak Amerika membantu mereka untuk mendapatkan kesempatan bagi meluaskan kawasan penempatan haram, merampas lebih banyak tanah, mengaut lebih banyak sumber dan menjadikan kehidupan kami bertambah sukar," katanya.

Ashrawi menyertai rundingan dua tahun bermula pada 1991 dan delegasinya bertanggungjawab kepada Pertubuhan Palestin Palestin (PLO) yang mula berunding secara langsung dengan Israel dua tahun kemudian pada permulaan proses damai Oslo.

Beliau berpendapat sebarang rundingan lanjut mesti tertumpu terus kepada usaha menamatkan pendudukan Israel.

Israel sedang berusaha supaya Palestin hanya mendapat sebuah 'negara mini' terdiri daripada pusat-pusat tumpuan penduduk seperti Ramallah, Hebron, Baitulaham yang semuanya dikelilingi oleh kawasan penempatan haram Yahudi, kata Ashrawi. - Reuters

Sumber

0 comments: